PETALING JAYA: Aksi tidak konsisten atlet badminton khususnya yang layak ke pentas Olimpik Paris 2024 mencetuskan kebimbangan dengan temasya terbesar dunia itu akan membuka tirai kurang dua bulan lagi.
Selepas gagal menepati sasaran di Masters Malaysia, minggu lalu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Pearly Tan-M.Thinaah sekali lagi mempamerkan aksi hambar di Terbuka Singapura.
Dalam aksi di Kota Singa itu, Aaron-Wooi Yik dan Tang Jie-Ee Wei tumpas di peringkat suku akhir manakala aksi yang dipamerkan Pearly-Thinaah lebih mengecewakan apabila terkandas seawal pusingan pertama.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, beliau sudah menjangkakan prestasi kurang baik yang dipamerkan anak buahnya di Malaysia Masters akan dibawa ke Kota Singa.
“Aaron-Wooi Yik saya lihat permainan mereka tidak teratur dan bermain seakan-akan tiada perancangan. Ia membuatkan mereka berdua goyah, sekali gus memberi peluang kepada pasangan Denmark
“Bagi Pearly-Thinaah saya memang tidak menjangkakan mereka akan pamer prestasi sebegini (kalah seawal pusingan pertama). Permainan mereka sangat jauh daripada apa yang saya ramalkan.
“Tang Jie-Ee Wei pula mereka terlalu bergantung kepada arahan jurulatih ketika dalam gelanggang. Selaku pemain ke-10 dunia, mereka perlu bijak dalam membuat keputusan,” kata Rexy kepada Mingguan Malaysia.
Selepas ini, pemain negara akan menyertai Terbuka Indonesia yang akan membuka tirai pada Selasa ini dan pentas berstatus super 1,000 itu perlu dijadikan medan kebangkitan kem badminton negara.










