PETALING JAYA: Skuad badminton negara akan lebih berahsia tentang persiapan menjelang Olimpik Paris 2024 bagi mengelak segala perkembangan dan strategi dihidu pihak lawan.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, beliau sudah mengarahkan pemain dan jurulatih agar berhati-hati ketika menjawab soalan media.
“Sekarang bukan seperti 50 tahun yang lalu, maklumat lambat sampai. Sekarang, kalau kita beritahu apa yang kita buat, dalam tempoh beberapa minit sahaja semua orang sudah tahu.
“Bukan tidak mahu menjawab tetapi kena lebih berhati-hati. Adakalanya pemain dan jurulatih terlalu baik. Kadang-kadang dalam temubual mahu tahu pelbagai perkara.
“Secara tidak langsung, kami analisis pemain kami tetapi daripada sudut berbeza kami telah mendedahkan maklumat kepada umum, jadi kami perlu lebih tertutup.
“Ada anda dengar China bercakap mengenai Chen Yu Fei (perseorangan Wanita) ada?,” soal Rexy ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad negara, semalam.
Dalam masa yang sama, Rexy menegaskan beliau dan barisan kejurulatihan sedia menjadi barisan hadapan bagi menyerap segala tekanan bagi memastikan para pemain tidak terganggu.
“Ini kerja kami kerana kami mahu pemain kekal tenang. Mereka tidak perlu memikirkan apa-apa. Biar kami sebagai jurulatih yang pening kepala.
“Saya sudah memberitahu kepada jurulatih yang terlibat dengan program RTG (Road to Gold), mereka mesti berkorban untuk pastikan pemain dalam keadaan terbaik,” katanya.
Ketika ini, skuad badminton negara sedang mempersiapkan diri bagi menghadapi Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil dari 21 hingga 26 Mei ini.
Seterusnya, mereka akan beraksi di Terbuka Singapura pada 28 Mei hingga 2 Jun ini sebelum menyertai Terbuka Indonesia pada 4 hingga 9 Jun ini dan selepas itu berangkat ke Paris.-UTUSNA










