Malaysia mudah libas China

Malaysia mudah libas China

SKUAD Regu negara bermula langkah kanan dalam Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw apabila membenam China 15-6, 15-7 dalam perlawanan pertama di Stadium Titiwangsa, hari ini.- GAMBAR- AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad regu sepak takraw negara tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan pertama selepas mudah menumpaskan China 15-6, 15-7 dalam Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024, sebentar tadi.

Trio utama negara yang diwakili Syahir Rosdi selaku tekong, Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan) ternyata sukar untuk digugat apabila mempamerkan aksi konsisten.

China yang diwakili Wu Haoran, Zhang Ruhou dan Fan Xu gagal untuk mengimbangi set pertama khususnya untuk mengambil servis deras Syahir dan rejaman tajam Azlan.

Pada set kedua, ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun merehatkan Azlan dan membawa masuk perejam gulung negara, Shaharil Aiman Halim untuk menambah sengat.

Pada hujung set kedua, Ahmad Jais turut merehatkan Syahir bagi memberi peluang kepada Mohd Haziq Hairul Nizam turun beraksi.

“Saya amat bangga dengan prestasi pasukan apabila kita berjaya mencatatkan kemenangan pertama. Hari ini (perlawanan menentang China) sebagai permulaan untuk kami memulakan perjalanan sehingga ke pusingan seterusnya.

“Kami akan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan dan berjanji akan lakukan yang terbaik (dalam setiap perlawanan) bagi mengharumkan nama negara,” kata Farhan ketika ditemui selepas perlawanan.

Kemenangan berkenaan membolehkan skuad negara mengungguli tangga teratas Kumpulan B dengan dua mata dan akan melengkapkan aksi kumpulan menentang Brunei esok.

Sekiranya muncul juara Kumpulan B, Malaysia akan berdepan naib juara kumpulan C yang di anggotai Korea Selatan, Filipina dan Singapura di suku akhir.

Sementara itu, skuad regu Thailand yang berada dalam Kumpulan A turut melakar kemenangan mudah 15-7, 15-8 ke atas Vietnam.

Dalam pada itu, bagi acara double, Malaysia yang berada dalam Kumpulan A akan turun dalam perlawanan pertama esok menentang Jepun.

Dalam aksi sebelah pagi, Jepun meraih kemenangan pertama selepas menumpaskan Brunei 15-13, 15-10.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN