Bandar span sia-sia jika pembangunan pesat tidak dikawal

Bandar span sia-sia jika pembangunan pesat tidak dikawal

KERATAN UTUSAN MALAYSIA 23 JULAI 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Konsep Bandar Span atau Sponge City hanya berkesan mengurangkan risiko banjir sekiranya pembangunan dikawal dan kawasan hijau serta kawasan tadahan air terus dipelihara.

Melihat kepada situasi terkini perancangan pembangunan di Lembah Klang terutama pusat bandar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, pendekatan itu dilihat tidak realistik atau sia-sia.

Pensyarah Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Aweng Eh Rak berkata, jumlah hujan yang turun di sesuatu kawasan tidak berubah, sebaliknya keupayaan sesuatu kawasan untuk menyerap air menjadi faktor utama dalam mengawal aliran permukaan.

Beliau berkata, Sponge City direka bagi membolehkan air hujan diserap ke dalam tanah supaya tidak menghasilkan aliran permukaan berlebihan yang boleh menyebabkan banjir.

“Jika pembangunan terus mengurangkan kawasan hijau, konsep ini tidak akan mencapai matlamatnya. Jumlah hujan yang turun dalam sesuatu kawasan adalah sama tetapi yang berubah ialah keupayaan tanah untuk menyerap air.

“Apabila kawasan tidak telap air seperti bangunan, jalan raya dan permukaan konkrit semakin bertambah, kapasiti penyerapan air akan semakin berkurangan.

“Pada peringkat awal, reka bentuk bandar itu mungkin mencukupi berdasarkan keluasan kawasan yang boleh menyerap air. Tetapi apabila lebih banyak kawasan ditukar kepada permukaan tidak telap, jumlah air yang menjadi aliran permukaan meningkat dan reka bentuk asal tidak lagi mampu menampung air hujan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, lebih 8.3 juta penduduk di Lembah Klang bakal berdepan risiko banjir berterusan susulan kapasiti kolam takungan banjir di Kuala Lumpur kini hanya tinggal kira-kira 30 peratus daripada keluasan asal 114.5 hektar.

Pengerusi Gabungan Selamatkan Kuala Lumpur (SKL), Datuk M. Ali berkata, penyusutan itu berlaku selepas sebahagian besar kawasan berkenaan diberikan hak milik kepada pemaju bagi tujuan pembangunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh turut memaklumkan pewartaan 45 lagi kawasan hijau dan lapang seluas 277,663.90 meter persegi, menjadikan jumlah keseluruhan kawasan yang telah diwartakan sebanyak 539 lokasi.

Hannah berkata langkah itu juga sebahagian daripada strategi jangka panjang bagi menjadikan Kuala Lumpur bandar lebih mampan dan berdaya tahan, termasuk mengadaptasi konsep Sponge City dalam menangani isu banjir dan peningkatan suhu bandar.

Dalam pada itu, Aweng berkata kerajaan perlu mewartakan kawasan tadahan banjir dan kawasan resapan air sebagai kawasan yang tidak boleh dibangunkan bagi memastikan fungsi semula jadi kawasan tersebut terus terpelihara.

“Langkah ini sepatutnya sudah dilaksanakan sejak dahulu lagi. Pada masa sama, kerajaan perlu menetapkan had yang jelas terhadap keluasan pembangunan yang dibenarkan.

“Jika pembangunan dibiarkan tanpa kawalan, kapasiti asal kawasan tersebut untuk menyerap dan menampung air hujan akan terus berkurangan, sekali gus meningkatkan risiko banjir,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN