Sebagai seorang yang sudah lama berkecimpung dalam dunia kamera, penulis akui naluri seorang jurufoto sukar dipadamkan.
Apatah lagi ketika berdiri di hadapan Baitullah, melihat jemaah bertawaf dan wajah-wajah yang dipenuhi rasa syukur, tangan ini seolah-olah mahu terus mencapai kamera untuk merakam detik-detik yang terlalu indah untuk dilepaskan begitu sahaja.
Namun sepanjang berada di Tanah Suci baru-baru ini, penulis sentiasa mengingatkan diri tujuan hadir ke sana bukanlah untuk menghasilkan gambar, tetapi sebagai seorang hamba yang mencari redaNya.
Melihat hampir setiap orang memegang telefon pintar, ada yang merakam kenangan bersama keluarga, ada yang membuat video untuk dikongsi, malah ada juga yang terlalu asyik menghasilkan kandungan media sosial sehingga mengulang rakaman berkali-kali demi mendapatkan hasil yang dianggap sempurna.
Lalu timbul satu persoalan. Salahkah semua ini? Bagi penulis, jawapannya sentiasa bermula dengan niat.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat…..” Hadis yang ringkas ini cukup besar maknanya.
Mengambil gambar di Tanah Suci adalah harus selagi tidak melanggar batas dan syarak dengan tidak mengganggu jemaah lain serta tidak membawa kepada riak atau sifat menunjuk-nunjuk.
Jika dikongsikan dengan niat menyebarkan kebaikan dan menjadi medium dakwah, ia adalah sesuatu yang baik, asalkan keikhlasan dan adab sentiasa dipelihara.
Sebagai jurufoto, penulis percaya terdapat beberapa etika yang wajar dihormati dan yang paling penting, jangan biarkan budaya content first mengatasi tujuan sebenar berada di Tanah Suci. Tidak semua pengalaman spiritual perlu dikongsi kepada dunia.

MOMEN REFLEKSI DI TANAH HARAM
Dalam dunia fotografi, kita sering mendengar istilah decisive moment yang diperkenalkan oleh Henri Cartier-Bresson, iaitu saat paling tepat untuk menekan butang shutter. Namun, penulis menemui satu lagi bentuk momen yang jauh lebih bermakna, iaitu reflective moment.
Jika decisive moment mengajar seorang jurufoto bila perlu merakam, reflective moment pula mengajar bila perlu meletakkan kamera. Ia bukan kerana tiada gambar yang menarik untuk dirakam, tetapi kerana ada pengalaman yang lebih bermakna untuk dihayati. Pada saat itulah mata melihat, hati merasa dan jiwa mentafsir sesuatu yang tidak mampu dirakam oleh mana-mana lensa.
Di Tanah Haram, penulis akhirnya memahami ada pengalaman yang jauh lebih bernilai apabila ia kekal hidup di dalam hati berbanding di dalam galeri telefon.
Setibanya pulang, penulis mengimbau kembali ratusan gambar yang tersimpan di dalam galeri telefon. Namun apabila ditanya apakah kenangan paling berharga sepanjang berada di Mekah, jawapannya bukanlah gambar-gambar itu. Sebaliknya detik-detik yang tidak pernah dirakam.
Saat berdiri di hadapan Kaabah tanpa memegang telefon. Saat melihat ribuan manusia berdoa dalam diam. Saat hati terasa begitu kecil dihadapan kebesaran Allah SWT. Mungkin itulah gambar terbaik yang tidak pernah diambil.
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Visual Komunikasi- Fotomedia Kreatif, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka – FSSR, UiTM










