Kematian bukanlah bermaksud penghujung kehidupan sebaliknya merupakan perpindahan dari satu kehidupan ke satu kehidupan yang baharu.
Kerana itulah kematian adalah gerbang kepada alam yang baharu yang dikenali sebagai alam barzakh atau alam pertengahan di antara alam dunia dengan alam akhirat.
Para Nabi dan Syuhada Tetap Hidup
Al-Imam Taqiyyuddin ‘Ali bin ‘Abdul Kafi al-Subki di dalam kitab beliau yang berjudul: Syifa al-Saqom Fi Ziyaroh Khoyr al-Anam Sollallohu ‘Alayhi Wa Sallam telah membahaskan hakikat bahawa para nabi dan rasul tetap hidup sekalipun mereka telah wafat.
Beliau menyatakan apabila Allah memaklumkan orang yang mati syahid adalah hidup menerusi firmanNya dalam Surah Ali ‘Imran ayat ke-169: “Janganlah dikau menyangka mereka yang terbunuh di jalan Allah adalah orang yang telah mati bahkan mereka adalah orang yang hidup yang diberikan rezeki di sisi tuhan mereka”, maka para nabi dan rasul lebih layak untuk hidup selepas kewafatan mereka kerana darjat mereka lebih mulia berbanding para syuhada.
Apatah lagi Nabi Muhammad SAW yang merupakan seorang nabi dan juga seorang syahid kerana baginda wafat disebabkan racun yang diletakkan di dalam makanan baginda pada peristiwa Peperangan Khaibar.
Pegangan Para Nabi Tetap Hidup Berdasarkan Hadis
Antara bukti para nabi tetap hidup di alam barzakh ialah beberapa hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bayhaqi di dalam karya beliau yang berjudul: Hayat al-Anbiya’ ‘Alayhim al-Salam Ba‘da
Wafatihim (Kehidupan Para Nabi Setelah Kewafatan Mereka) yang menunjukka para nabi dan rasul tetap hidup selepas kewafatan mereka. Antaranya adalah:
• Daripada (Saidina) Anas, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Para Nabi adalah hidup dalam keadaan mereka melaksanakan solat di kubur mereka”.
• Daripada (Saidina) Anas, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Sesungguhnya para Nabi tidak akan ditinggalkan di kubur mereka selepas 40 malam. Sebaliknya mereka akan melaksanakan solat di hadapan Allah sehinggalah sangkakala ditiup”.
Menurut Imam al-Bayhaqi, jika hadis ini sahih, ia bermaksud para nabi tidak menunaikan solat dalam tempoh 40 hari pertama selepas kewafatan. Selepas itu, mereka akan terus menunaikan solat sehingga hari kiamat.
Menurutnya, berkemungkinan hadis ini ingin menerangkan Allah akan mengangkat jasad para nabi beserta dengan roh mereka dari kubur mereka [ke lokasi yang lain yang dipilih oleh Allah SWT).
• Daripada (Saidina) Anas bin Malik Rasulullah SAW telah bersabda: “Saya telah mendatangi (Nabi) Musa di sisi gunung pasir yang berwarna merah pada malam saya telah dibawa berjalan (malam Israk Mikraj) dalam keadaan baginda berdiri melaksanakan solat di kubur baginda”. (Hadis riwayat al-Imam Muslim)
• Daripada (Saidina) Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Saya melihat diri saya berada di Hijir (Nabi Isma‘il) saat saya memberitahu Quraisy mengenai perjalanan Israk saya.
Lalu mereka meminta saya untuk menjelaskan tentang beberapa perkara yang berkait dengan Baitulmuqaddis. Saya tidak mengingatinya lalu saya merasa sangat sukar yang saya tidak pernah merasai kesukaran seumpamanya. Maka Allah pun mengangkatnya (Masjid al-Aqsa) untuk saya dalam keadaan saya saat itu dapat melihatnya.
Maka tidak ada sesuatu apapun yang ditanya oleh mereka (tentang Masjid al-Aqsa) melainkan saya akan menjelaskannya kepada mereka. Saya [juga pada malam Israk Mikraj] mendapati diri saya berada bersama dengan sekumpulan para nabi. Lalu (saya telah melihat saat itu Nabi Musa) berdiri melaksanakan solat. Baginda adalah seorang lelaki berbadan kemas, berambut kerinting.
Seolah-olah baginda adalah daripada kalangan lelaki Syanu’ah. (Saya juga melihat Nabi Isa) putera Maryam berdiri melaksanakan solat. Orang yang paling mirip dengan baginda adalah ‘Urwah bin Mas‘ud al-Thaqafi. [Saya juga telah melihat Nabi] Ibrahim sedang berdiri melaksanakan solat.
Orang yang paling mirip dengan baginda adalah teman kalian iaitu diri baginda sendiri. Maka (setelah itu) tibalah (waktu) solat (berjemaah) lalu saya mengimamkan mereka. Setelah saya selesai melaksanakan solat, seseorang telah berkata kepada saya: Wahai Muhammad. Ini adalah (malaikat) Malik penjaga neraka.
Maka berikanlah salam kepada beliau. Lalu saya pun beralih kepada beliau namun beliau pula yang lebih awal memberikan salam kepada saya”.
Jasad Para Nabi Tetap Utuh Selepas Kewafatan
Ini juga adalah bukti para nabi dan rasul tetap hidup selepas kewafatan mereka. Ini berbeza dengan kebanyakan manusia yang akan hancur luluh tubuhnya selepas berlaku kematian. Al-Imam Abu Daud di dalam Sunan beliau telah meriwayatkan:
Daripada Saidina Aws bin Aws RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya hari Jumaat ialah antara hari terbaik. Pada hari itu Nabi Adam AS diciptakan, diwafatkan, dan pada hari itulah juga sangkakala akan ditiup serta berlakunya kematian mengejut akibat kedahsyatan tiupan tersebut.”
“Maka, perbanyakkanlah berselawat kepadaku pada hari Jumaat kerana selawat kalian akan dipersembahkan kepadaku.” Lalu para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami dapat dipersembahkan kepada baginda sedangkan jasad baginda telah hancur selepas kewafatan?”
Maka baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla mengharamkan bumi memakan jasad para nabi”.
Orang Bukan Islam Juga Hidup di Alam Barzakh
Kehidupan di alam barzakh bukan hanya untuk para nabi dan syuhada, malah meliputi semua yang meninggal dunia, sama ada Islam atau bukan Islam. Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis yang menunjukkan si mati sebenarnya hidup di alam barzakh.
Daripada Saidina Anas, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang hamba yang beriman dikebumikan dan orang yang menghantarnya pulang sehingga dia mendengar bunyi tapak kasut mereka, dua malaikat akan datang lalu mendudukkannya untuk disoal.”
Mereka pun berkata kepadanya: Apa yang kamu dahulunya sebut tentang lelaki ini (iaitu) Muhammad? Maka dia akan berkata: Saya bersaksi baginda adalah hamba Allah dan rasulNya.
Kemudian dikatakan kepadanya, “Lihatlah tempatmu di neraka. Allah telah menggantikannya dengan tempat di syurga.” Rasulullah SAW bersabda bahawa ketika itu dia diperlihatkan kedua-dua tempat tersebut, iaitu di syurga dan neraka.
Adapun orang kafir atau (yang baginda sabdakan: orang munafik, maka dia akan berkata (setelah disoal oleh dua malaikat): Saya tidak tahu. Saya dahulunya (semasa hidup) ada berkata dengan apa yang dikatakan oleh manusia.
Lalu dikatakan kepadanya: Kamu tidak tahu dan tidak (juga) membaca. Kemudian dia akan dipukul (kali pertama) dengan pengetuk daripada besi sebanyak satu pukulan di antara dua telinganya.
Lalu dia akan menjerit dengan satu jeritan yang akan didengar oleh sesiapa sahaja yang berada di tepinya kecuali manusia dan jin”.
Oleh itu, Ahli Sunnah Wal Jamaah bersepakat yang orang yang meninggal dunia tetap hidup di alam barzakh. Imam al-Haramayn al-Juwayni menyatakan para salaf mengakui kewujudan azab kubur serta percaya roh akan dikembalikan ke jasad di alam kubur.
Penulis ialah Syeikh Ruwaq Jawi, Pusat Pengajian Ruwaq Jawi Kaherah.










