PORT DICKSON: Selepas diumumkan sebagai calon mewakili Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun terus memberitahu ia bukannya tugas yang mudah kerana ia merupakan kubu kuat parti lawan.
Namun tekadnya hanya satu iaitu untuk memberikan khidmat terbaik kepada penduduk dengan membawa lebih banyak pembangunan dan mendekati rakyat, lebih-lebih lagi beliau merupakan Ahli Parlimen Port Dickson.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Aminuddin memberitahu, antara keutamaan beliau di Linggi adalah untuk memperluaskan peluang pekerjaan, khususnya kepada golongan belia menerusi beberapa projek pembangunan yang sedang dan bakal dilaksanakan di kawasan tersebut serta sekitar Port Dickson.
Katanya, projek berimpak tinggi itu termasuk pembinaan pelabuhan baharu Midport berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Pasir Panjang, pembangunan Zon Bebas Port Dickson (PDFZ) dan pembinaan hotel Lexis Hibiscus 2 membabitkan pelaburan RM2 bilion.
“Pembinaan Lexis Hibiscus 2 kini sedang berjalan dan dijangka siap dalam tempoh kira-kira dua tahun lagi. Sudah tentu ia akan membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.
“Pembinaan Pelabuhan Midport AI juga telah dilancarkan baru-baru ini dan saya yakin projek itu dapat disiapkan dalam tempoh tiga tahun. Ia juga bakal menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.
“Selain itu, sebanyak 300 ekar kawasan perindustrian bebas turut disediakan. Apa yang penting bukan hanya menyediakan pekerjaan tetapi menarik lebih ramai pelabur yang mampu menawarkan pendapatan lebih baik kepada rakyat,” katanya.
Menurut Aminuddin, pembangunan yang dirancang bukan sahaja memberi manfaat kepada tenaga kerja malah turut merangsang ekonomi setempat apabila membuka lebih banyak peluang kepada peniaga kecil.
Beliau yakin projek-projek tersebut mampu menjadi pemangkin perubahan yang akan mengubah landskap ekonomi Linggi pada masa hadapan.

Dalam masa sama, katanya, pembangunan itu perlu diseimbangkan dengan usaha membela kebajikan golongan nelayan, petani dan peniaga kecil memandangkan Linggi merupakan sebuah kawasan luar bandar.
“Di sini ada nelayan dan petani. Apabila hujan, nelayan tidak dapat turun ke laut, petani juga berdepan kesukaran. Selain itu terdapat kawasan estet dan pertanian kecil yang menjadi sumber pendapatan penduduk.
“Peniaga kecil yang berniaga sarapan dan makanan pada waktu petang juga perlu diberikan perhatian dan dibantu supaya mereka turut menikmati manfaat daripada pembangunan ini,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan menyeluruh di Linggi juga diyakini mampu meningkatkan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa ke Port Dickson, sekali gus mengukuhkan kedudukan daerah itu sebagai destinasi pantai peranginan utama negara.
Menyentuh isu banjir yang sering melanda pekan Linggi, Aminuddin berkata, projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan dijangka mampu menyelesaikan masalah berkenaan.
“Pada awal saya menjadi Ahli Parlimen Port Dickson, pekan Linggi dilanda banjir. Saya kemudian memohon kepada Perdana Menteri supaya projek tebatan banjir dilaksanakan dan Alhamdulillah ia diluluskan.
“Kini projek itu sedang giat dijalankan dan saya dimaklumkan beberapa kawasan sudah tidak lagi dinaiki air sejak beberapa bulan lalu. Ini membuktikan projek tebatan banjir Sungai Linggi amat penting.
“Kadang-kadang hujan di Seremban tetapi banjir berlaku di Linggi. Itulah antara isu utama yang dihadapi sebelum ini dan insya-Allah ia akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.

Mengulas penerimaan pengundi terhadap pencalonannya, Aminuddin berkata, sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan namun enggan membuat sebarang ramalan mengenai keputusan pilihan raya.
“Saya percaya ramai mengenali saya sebagai Menteri Besar dan Ahli Parlimen Port Dickson. Sambutan yang diberikan memang sangat baik namun sama ada ia akan diterjemahkan kepada undi, saya tidak mahu membuat sebarang ramalan.
“Apa yang penting saya berpeluang bertemu masyarakat di Pasir Panjang, Tanjung Agas, Sungai Raya, Teluk Pelanduk dan kawasan-kawasan lain. Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat baik dan mesra.
“Saya akan terus bertemu seramai mungkin pengundi di DUN Linggi dan berharap pertemuan ini memberi kesan positif. Selebihnya saya serahkan kepada kebijaksanaan para pengundi,” katanya.
DUN Linggi mempunyai 20,677 pengundi berdaftar. Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Aminuddin berdepan saingan tiga penjuru membabitkan penyandang kerusi, Datuk Mohd. Faizal Ramli dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zamri Md. Said. –UTUSAN










