PETALING JAYA: Sebanyak 32 pasukan bolasepak yang berlatih di bawah kelolaan Program Pembangunan Bolasepak Negara dan Majlis Sukan Negara akan bertanding dalam kejohanan Liga PLD Lembah klang anjuran bersama Haro Sports & Entertainment Sdn. Bhd., Majlis Sukan Negara, dan Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN)
Lebih dari 600 pemain dan 150 pegawai termasuk pasukan teknikal akan terlibat dalam liga PLD Lembah Klang bawah 13, 15, dan 17 tahun kali ini

Objektif penganjuran liga ini adalah untuk menyediakan platform kejohanan yang terancang dan teratur, menjadi venue menguji tahap latihan pasukan dan keberkesanan latihan di setiap Pusat Latihan Daerah PPBN yang berada di kawasan lembah Klang dan sekitarnya.

Pengurus Haro Sports, Haizul Anuar berkata, untuk memeriahkan lagi liga kali ini, beberapa pasukan yang berada di tahap yang lebih tinggi akan terlibat seperti pasukan Sekolah Sukan Bukit Jalil bawah 15 tahun , pasukan dari Sekolah Sukan Negeri Sembilan bawah 13 dan 15 tahun dan pasukan dari Akademi Mokhtar Dahari bawah 13 dan 14 tahun.
Katanya, kejohanan kali ini menggabungkan tiga buah negeri utama yang diketuai oleh 3 ketua jurulatih negeri masing masing .Perincian dan kesan latihan pada setiap pusat latihan daerah akan dapat di lihat ketika liga berjalan.
“Bahagian pencarian bakat PPBN juga akan berada di venue perlawanan untuk mencari bakat baru yang boleh diketengahkan di masa hadapan.
“Kejohanan liga satu pusingan ini akan bermula dari bulan Mei 2024 dan dijangka tamat sebelum November 2024 dan semua perlawanan akan dimain di padang sintetik Lembaga Penyelidikan Getah Malaysia , Sungai Buloh (RRI Football Park),” katanya
Untuk kejohanan kali ini, juara liga setiap kategori akan membawa balik Piala Pusingan, Piala Iringan, set jersey dan barangan sukan. Hadiah juga akan diberi kepada tempat kedua dan ketiga liga.
“Kejohanan ini juga akan memberi hadiah kepada pemain penyerang, tengah, pertahanan dan penjaga gol terbaik dan pasukan Fairplay. Ini akan memberi semangat kepada semua pasukan yang terlibat.
“Kami berharap liga ini dapat memberi impak positif dan akan menjadi salah satu kejohanan yang baik dan diletakkan di dalam kalendar bola sepak akar umbi ini,” katanya.’
Mereka juga mengalu-alukan penajaan daripada mana-mana badan korporat atau organisasi. – UTUSAN










