JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) menyifatkan kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai kekalahan yang mengejutkan.
Pengarah Jentera PH PRN Johor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat pukul 9.50 malam tadi, PH hanya memenangi lapan daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.
Amirudin berkata, salah satu kerusi yang dimenangi itu ialah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa yang dimenangi Dr. Maszlee Malik.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (PRN) mengumumkan calon-calon PH setakat ini (menang) lapan kerusi meskipun berdepan cabaran sepanjang kempen.
“Setakat ini, lapan itu membabitkan enam daripada DAP serta PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.
“Kita masih menunggu beberapa kepastian kerusi membabitkan DAP dan PKR,” katanya dalam sidang media di Pusat Informasi PH di Pulai Spring Resort, di sini malam ini.
Yang turut hadir Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad.
Beliau berkata, Maszlee memperoleh 30,228 undi, diikuti calon Barisan Nasional (BN), Teow Chia Ling dengan 26,654 undi.
Keputusan rasmi bagi semua kerusi DUN akan diumumkan SPR selepas proses penjumlahan undi selesai. – UTUSAN









