Populariti Onn Hafiz jadi punca kekalahan PH

Populariti Onn Hafiz jadi punca kekalahan PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Populariti Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam kalangan pengundi muda menjadi faktor Pakatan Harapan (PH) kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, perwatakan Onn Hafiz itu disenangi rakyat di negeri ini seterusnya memberi kemenangan Barisan Nasional (BN).

Katanya, ada beberapa faktor dikenal pasti seperti isu tempatan yang penting selain faktor kesinambungan pentadbiran yang dijanjikan BN.

“Selain itu, kita juga mendapati sokongan penyokong Perikatan Nasional (PN) yang beralih kepada BN turut menjadi punca kekalahan ini.

“Ia sesuatu yang di luar jangkaan kita. Bagaimanapun, kita akan kembali ke war room dan akan membuat post mortem bagi melihat semula kekalahan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Khalid berkata, sokongan terhadap PH masih kuat dan gabungan parti itu berjaya menaikkan peratusan keluar mengundi lebih tinggi berbanding PRN Johor pada 2022.

“Kita tidak melihat sokongan terhadap PH berkurangan. Justeru, kita perlu menilai semula pendekatan dan strategi untuk PRN di Negeri Sembilan dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Sokongan tradisi PH masih kuat, masalah bagi kita ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hampir kehilangan pengikut dan penyokongnya serta sebahagian daripada Pas mengundi calon BN.

“Ini satu perubahan yang tidak dijangka dan hasil daripada itu kita kalah, berlakunya ‘swing’ serta pertambahan undi yang pergi kepada calon BN,” katanya.

Tambahnya, terlalu awal untuk membuat kesimpulan dan akan meneliti data setiap saluran bagi mengetahui angka sebenar serta trend pengundian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN