PETALING JAYA: Skuad Speedy Tigers bergelut untuk menyesuaikan permainan dengan permukaan padang dalam saingan Piala Negara-Negara di Poland yang akan membuka tirai hari ini.
Dalam aksi pertama, Malaysia akan berdepan Pakistan dan masalah padang membuatkan skuad kendalian Sarjit Sigh sedikit gusar kerana situasi itu boleh memberi kesan kepada skuad negara.
Sarjit berkata, beliau amat gembira anak-anak buahnya mampu menyesuaikan diri dengan cuaca namun, bimbang akan faktor padang yang jauh berbeza dengan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Katanya, pemain kebangsaan perlu cepat membiasakan diri berikutan mahu melunaskan dendam terhadap Pakistan yang mana menewaskan Malaysia 5-4 pada Piala Sultan Azlan Shah 2024 awal bulan lalu.
“Padangnya (Poland) adalah rumput hijau tua, berbonggol dan tidak rata. Ianya amat berbeza dengan padang biru di Malaysia. Bukan kami sahaja tidak membiasakan diri malah New Zealand turut mengalami nasib yang sama.
“Saya harap pemain kita akan kekal tenang. Beberapa perlawanan akan datang nanti, saya percaya sebahagian besar akan ditentukan oleh padang.
“Walaupun tewas kepada New Zealand (dalam aksi persahabatan), itu merupakan satu pengalaman kepada mereka terutamanya kepada enam pemain baharu yang menyertai skuad negara,” katanya
Terdahulu, aksi persahabatan menentang Afrika Selatan, semalam dibatalkan dan digantikan menentang Poland, namun skuad negara terpaksa akur dengan kehebatan tuan rumah apabila tumpas 2-0.
Selasa lalu, skuad kendalian Sarjit turut mengalami nasib yang sama selepas tewas kepada New Zealand1-4 dalam aksi persahabatan yang dijalankan di padang kejohanan terbabit di Gniezo, Poland.
Sementara itu, Sarjit memaklumkan Faizal Saari yang sedang dalam proses pemulihan daripada kecederaan yang dialaminya ketika sesi latihan sejak tiba di Poland.
“Bola hoki terkena pada lututnya namun kecederaan itu tidak serius seperti yang dijangkakan. Saya tidak bimbang kerana ia beransur pulih. Beliau sudah turun menentang Poland dan cergas sepenuhnya untuk menentang Pakistan hari ini,” katanya.
Malaysia diundi berentap Pakistan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala Negara-negara 2024 hari ini diikuti menentang Perancis pada 2 Jun dan Kanada 5 Jun ini.-UTUSAN










