Azrai 'mesin gol' Speedy Tigers 

Azrai ‘mesin gol’ Speedy Tigers 

PENYERANG Speedy Tigers, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (tengah) meledak lapaan gol dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Impian penyerang skuad hoki lelaki negara, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal untuk memburu gelaran penjaring terbanyak di Piala Sultan Azlan Shah (PSAS), tercapai selepas meledak lapan gol di kejohanan berkenaan.

Azrai yang kini diangkat sebagai ‘mesin gol’ buat Speedy Tigers meledak lapan gol termasuk ketika beliau melakar hatrik dalam dua perlawanan menentang Pakistan dan New Zealand pada aksi liga sepusingan itu.

Paling membanggakan, pencapaian pemain berusia 24 tahun itu berjaya mengatasi idolanya sendiri iaitu penyerang paling berpengalaman, Faizal Saari yang menyumbang tiga gol pada saingan kali ini.

Azrai yang memiliki 75 caps bersama skuad senior dan telah meledak 28 gol sepanjang penampilannya bersama Speedy Tigers berkata, beliau sememangnya meletakkan sasaran untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan yang diharungi.

“Saya tidak letak sasaran terlalu tinggi, cuma bagi setiap perlawanan, saya akan sasar untuk meledak sekurang-kurangnya satu gol. Jika dapat jaringan lebih daripada itu, ia kira bonus untuk saya.

“Saya tidak menganggap ia ketajaman semula jadi, tetapi segalanya berpihak kepada saya ketika situasi di depan gawang lawan,” katanya.

Untuk rekod, Azrai turut cemerlang di liga domestik apabila muncul sebagai penjaring terbanyak di Liga Hoki Malaysia (LHM) untuk dua musim berturut-turut ketika mewakili Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu 40 gol pada musim lalu serta 32 gol musim ini.

Bagaimanapun di sebalik kejayaan peribadinya itu, Azrai gagal membantu Speedy Tigers mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu selepas Malaysia sekadar menamatkan saingan di kedudukan keempat apabila tewas 2-3 kepada New Zealand pada penentuan tempat ketiga, kelmarin.

Lebih mengecewakan, dirinya gagal menyempurnakan penalti stroke pada perlawanan itu yang mungkin akan mengubah nasib skuad negara sekiranya peluang keemasan itu dapat disempurnakan, namun Azrai mahu segera melupakan detik hitam itu.

“Saya jenis seorang yang jika gagal menjaringkan gol, saya perlu teruskan seperti biasa. Nak buat macam mana…sebab ia adalah lumrah dalam sukan ini,” katanya yang mengakui, ia adalah kali pertama gagal menyempurnakan penalti stroke.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN