Arif-Roy King lakar kejutan di Terbuka Thailand

Arif-Roy King lakar kejutan di Terbuka Thailand

Yap Roy King (kanan) bersama Wan Arif Junaidi (kiri)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasangan beregu negara, Arif Junaidi-Yap Roy King mengejutkan pilihan keenam, Lu Ching Yao-Yang Po Han pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Thailand di Bangkok, Thailand, hari ini.

Gandingan yang menghuni ranking ke-64 dunia itu mengambil masa selama 1 jam 3 minit untuk menewaskan pasangan No. 21 dunia dari Taiwan tersebut 16-21, 21-13, 21-16.

Turut mengikut jejak langkah Arif-Roy King ialah satu lagi pasangan Malaysia, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri yang tidak berdepan masalah membenam beregu Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley 21-1 6, 21-11 dalam masa 32 minit.

Ketika ditemu bual oleh SPOTV selepas perlawanan tamat, Hon Jian berkata, dia dan Haikal masih cuba untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang yang agak berangin.

“Memang terasa angin daripada penghawa dingin yang bertiup agak kuat juga, saya cuba untuk mencari sudut yang sesuai agar bulu tangkis tidak tersasar jauh,” katanya.

Menurut Hon Jian, sejak diberi peluang menyertai skuad kebangsaan pada Piala Thomas yang lalu, keyakinannya bersama Haikal semakin meningkat dan berharap semangat itu dapat dikekalkan pada Terbuka Thailand.

Dalam saingan perseorangan lelaki, pemain No. 37 dunia, Leong Jun Hao turut menjejakkan kaki ke pusingan kedua selepas mengejutkan lawan yang menghuni ranking lebih tinggi daripadanya iaitu Su Li Yang dari Taiwan 14-21, 21-15, 21-17.

Rakan senegara, Lee Zii Jia seperti dijangka menepati statusnya sebagai pilihan keenam setelah dia turut mara ke peringkat seterusnya selepas mengalahkan pemain ke-33 dunia, Lei Lan Xi dari China 21-17, 23-21

Kemenangan yang dilakar pemain No. 10 dunia itu menyaksikan dia melebarkan jurang rekod pertemuan ke atas Lan Xi kepada 2-0.

Sementara itu, dalam aksi beregu campuran dua pasangan Malaysia, Roy King-Valeree Siow dan Hon Jian-Go Pei Kee meneruskan kemaraan ke pusingan kedua, esok.

Roy King-Valeree menewaskan Lui Chun Wai-Fu Chi Yan dari Hong Kong 21-19, 21-17 dalam masa 35 minit, manakala, Hon Jian-Pei Kee mengetepikan wakil tuan rumah, Neuaduang Mangkornloi-Atitaya Povanon 21-10, 21-15 pada pusingan pertama.

Dalam pada itu, lima lagi wakil Malaysia iaitu K. Letshanaa, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong, Chia Wei Jie-Liew Xun, Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe dan Boon Xin Yuan-Goh V Shem terkandas pada pusingan awal. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN