Skuad B-23 pamer peningkatan

Skuad B-23 pamer peningkatan

PENYERANG skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Haqimi Azim Rosli cuba melepas kawalan pemain Qatar dalam aksi persahabatan menjelang Piala Asia B-23 di Doha, Qatar.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara terus mempamerkan peningkatan dalam aksi pemanas badan kedua menjelang saingan sebenar Piala Asia B-23 di Doha, Qatar minggu depan.

Biarpun skuad kendalian Juan Torres Garrido tumpas 0-1 kepada Qatar, tonggak pertahanan negara, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili melihat banyak elemen positif yang ditampilkan rakan sepasukan.

“Dari segi corak permainan dan keserasian, kami semakin meningkat dan ia sesuatu yang bagus untuk persediaan Piala Asia nanti.

“Satu perlawanan ke satu perlawanan pasukan kita memang ada peningkatan. Dari segi keupayaan teknikal, kemahiran individu dan keserasian tidak dinafikan kita sudah serasi.

“Tetapi kita kena cuba asah ketajaman bahagian serangan dan kurangkan kecuaian di mana, dua aksi persahabatan ini, kita bagi sepakan penalti kepada lawan,” katanya.

Sebelum itu skuad B-23 turut tewas kepada China dengan keputusan 1-2, dengan kedua-dua gol lawan juga berpunca daripada sepakan penalti.

Mengulas mengenai dua perlawanan persahabatan yang telah dilalui, Ubaidullah berharap kelemahan yang dilakukan pada aksi berkenaan mampu diperbaiki segera.

“Saya belum berpuas hati dengan persembahan ini malam ini, pada babak pertama kami lambat suaikan diri dengan permainan, banyak hilang bola, dan ragu-ragu buat keputusan.

“Babak kedua kita kembali bangkit dan kawan-kawan banyak membantu dalam padang. Saya rasa kita masih banyak perlu belajar sebelum Piala Asia bermula,” ujarnya.

Pasukan negara dijadual menentang Uzbekistan pada aksi pertama Kumpulan D di Stadium Antarabangsa Khalifa pada Rabu depan sebelum bertemu Vietnam tiga hari kemudian.

Skuad negara akan menutup kempen peringkat kumpulan dengan menentang Kuwait pada 23 April di Stadium Al Janoub.

Dua pasukan terbaik daripada empat kumpulan akan mara ke suku akhir di mana tiga pasukan terbaik kejohanan bakal menempah tiket ke temasya Sukan Olimpik Paris, Julai ini.

Manakala, pasukan di tangga keempat akan mengharungi aksi playoff bertemu Guinea dari benua Afrika untuk mencuri slot terakhir ke Paris.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN