FAM elak termakan janji manis PSM 

FAM elak termakan janji manis PSM 

Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tetap akan dianjurkan konsert dan kekal menjadi gelanggang bola sepak.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan bolasepak Malaysia (FAM) memberi peringatan awal kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) supaya tidak lagi menabur janji manis mengenai keadaan padang Stadium Nasional.

Tegas Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Mohd. Firdaus Mohamed, jika keadaan padang tidak berada dalam keadaan terbaik menjelang aksi menentang Taiwan Jun ini, PSM perlu berterus terang.

Hal ini kerana, FAM bersedia membuat pilihan lain iaitu diantara Stadium Sultan Ibrahim atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi dijadikan venue perlawanan itu jika padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak berada dalam keadaan terbaik.

Skuad Harimau Malaya akan berdepan Taiwan bagi aksi keenam Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 11 Jun nanti dengan venue perlawanan belum ditetapkan.

“Jika tidak boleh bagi tahu tidak boleh, jangan PSM terus menabur janji manis. Lagipun Stadium Nasional Bukit Jalil adalah gelanggang yang kita sewa.

“Kita tahu Bukit Jalil gelanggang keramat Harimau Malaya tetapi jika keadaan padang kurang baik ia akan jejas aksi pasukan,” katanya.

Aksi menentang Oman pada 26 Mac lalu menyaksikan keadaan padang menjadi isu utama sebelum sepak mula yang menyaksikan Malaysia tewas 0-2.

Dalam pada itu, SNBJ boleh dikatakan tidak sempat untuk berehat panjang apabila venue terbabit akan digunakan dalam tempoh dua bulan mendatang dengan tiga aksi besar.

Menerusi satu kenyataan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), SNBJ bakal menjadi gelanggang bagi aksi Battle Of The Reds yang bakal menemukan legenda Manchester United dan Liverpool.

Perlawanan itu dijadualkan berlangsung pada 27 April 2024 yang bakal menampilkan beberapa watak hebat seperti Mikael Silvestre, Wes Brown, Emile Heskey, Luis Garcia dan bintang bola sepak lain.

Penganjuran aktiviti itu di venue sama akan diteruskan dengan konsert Harris Jayaraj pada 25 Mei, disusuli aksi menentang Taiwan pada 11 Jun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×