PETALING JAYA: Pengendali Tenaga Nasional Berhad, Nor Saiful Zaini tidak mahu anak-anak buahnya terlalu selesa biarpun sudah sebelah kaki melangkah ke final Piala TNB.
Nor Saidul berkata, kemenangan 3-1 ke atas UITM HA-KPT dalam aksi separuh akhir pertama kelmarin, belum menjamin tempat mereka untuk beraksi di pentas final kejohanan itu.
Sehubungan itu, dalam aksi kedua hari ini, Nor Saiful mahu anak-anak buahnya meledak lebih banyak gol bagi menjamin tempat mereka di pentas final.
“Dalam aksi separuh akhir pertama, kita bermain dengan bagus, tetapi tidak dapat menghasilkan gol yang banyak. Itu yang saya nampak pada permainan kelmarin.
“Saya risau pada perlawanan kedua esok (hari ini) kerana gol yang kita hasilkan ini belum cukup selamat untuk membawa pasukan ke final, UITM mampu membalas semula,” katanya.
Menurut Nor Saiful, persediaan rapi perlu dilakukan dengan pelbagai perspektif lain harus diambil kira bagi mempamerkan persembahan yang baik hari ini.
“Apa yang saya boleh katakan kita perlu memberi fokus yang lebih dan bersedia mempersembahkan aksi yang baik pada perlawanan kedua esok (hari ini),” katanya.
Pada aksi separuh akhir pertama, TNB cemerlang dalam misi memburu gelaran ‘treble’ menewaskan UITM 3-1 menerusi dua gol daripada Mohd Azrai Azad Abu Kamal dan pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun.
Sementara dalam satu lagi aksi separuh akhir pertama, Terengganu Hockey Team (THT) turut semakin hampir mengulangi kejayaan ke final seperti tahun lalu apabila menewaskan Maybank 3-0.-UTUSAN










