Marin Pilj lengkapkan senarai  import TFC

Marin Pilj lengkapkan senarai  import TFC

MARIN Pilj akan memakai jersi bernombor 60 bersama Terengganu FC dalam saingan Liga Super musim 2024/2025.-IHSAN TERENGGANU FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Pemain tengah kelahiran Croatia, Marin Pilj, melengkapkan senarai awang import Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga Mm) 2024/25.

Ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner, berkata, pemain berusia 28 tahun itu telah menandatangani kontrak satu musim sehingga pengujung 2025 untuk menyarung jersi skuad Penyu.

Menurut beliau, kehadiran Pilj memastikan persiapan barisan pemain TFC sudah lengkap dengan kekuatan seimbang di semua posisi bagi mengharungi musim yang panjang.

“Kemasukan beliau (Pilj) sudah tentu memperkemaskan lagi kualiti pemain terutama di bahagian tengah dan saya gembira melihat muka-muka baharu dalam bilik persalinan.

“Ini adalah awang import terakhir pasukan dengan beberapa pemain tempatan pula dipinjamkan iaitu Arif Fadzilah Abu Bakar (Kuching City) dan Zueasyraf Zulkieflie (Kelantan United).

“Pilj pemain yang mampu mengetuai posisi tengah selain turut memiliki kepakaran situasi bola mati, jadi saya harap dia dapat membentuk keserasian bersama pasukan ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, TFC telah diperkuatkan enam awang import antaranya Argzim Redzovic (Montenegro), Matthew Steenvordeen (Belanda), Nurillo Tukhtasinov (Uzbekistan) dan Manuel Ott (Filipina).

Turut mengetuai jentera serangan adalah Ismaheel Akinade (Nigeria) dan Ivan Mamut, juga dari Croatia.

Sebelum menyarung jersi TFC, Pilj merupakan tonggak NK Varazdin dalam Liga Croatia dengan membuat 18 penampilan musim ini membantu kelab itu berada di kedudukan kelapan liga.

“Buat masa ini beberapa pemain tempatan sedang bersama skuad kebangsaan Malaysia untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 namun persiapan TFC tetap berjalan seperti biasa.

“Saya merancang untuk menguji keserasian pemain baharu dengan mengadakan siri perlawanan pemanas badan di Lembah Klang penghujung bulan ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN