Arif Aiman dalam kelas berbeza- Garrido

Arif Aiman dalam kelas berbeza- Garrido

AKSI Arif Aiman Hanapi sentiasa ditunggu peminat bola sepak tanah air. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Juan Torres Garrido tidak menolak bahawa memiliki pemain seperti Arif Aiman Hanapi dalam pasukan akan memberi sesuatu yang berbeza.

Bagaimanapun,jurulatih kelahiran Sepanyol itu tidak mahu memikirkan tentang Arif dan mahu fokus menggunakan sebaik mungkin barisan pemain-pemain yang sedia ada bagi saingan Piala Asia B-23, bulan depan.

Katanya, barisan kejurulatihan tidak pernah bercakap mengenai bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 21 tahun itu dan mengakui Arif telah berada pada kelas yang berbeza berbanding pasukan B-23 negara.

“Kita tidak pernah bercakap mengenai Arif kerana dia sudah menunjukkan bahawa dia berada pada tahap yang lebih tinggi berbanding kita (skuad B-23) apatah lagi dia berada dalam kesebelasan utama skuad senior.

“Sudah tentu pemain seperti ini akan memberikan sesuatu yang berbeza untuk kita dan kalau dia muncul (bersama skuad B-23), sudah tentu ini satu perkembangan yang bagus untuk pasukan kita juga.

“Tetapi kami tidak merancang (Arif Aiman) dalam skuad akhir kami kerana kami tidak pernah mendapatkan khidmatnya sebelum ini,” kata Garrido pada hari pertama latihan skuad B-23 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Ketika ini, pemain sayap lincah itu bersama skuad bimbingan Kim Pan Gon untuk mengharungi dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Oman pada 21 dan 26 Mac ini.

Sementara itu, Garrido turut mengesahkan pemain berpangkalan di Eropah, Richard Chin tidak dapat bersama skuad B-23 kerana mengalami kecederaan jangka panjang, namun mereka berjaya mendapatkan khidmat pertahanan Waldhof Mannheim, Annil Vigneswaran.

“Richard mengalami kecederaan sehingga terpaksa diketepikan dua ke tiga bulan, ia satu kehilangan besar untuk kita memandangkan kita tidak ada ramai pemain yang bermain di peringkat tertinggi.

“Untuk Annil, kami melihat dia layak untuk diberi peluang dan kita juga tidak ramai pertahanan tengah. Jadi amat baik untuk mengujinya dan memberi kesempatan kepadanya untuk membuktikan kemampuannya,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN