Empat jurulatih kemudi Harimau Malaya 

Empat jurulatih kemudi Harimau Malaya 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Panel empat jurulatih mengendalikan skuad Harimau Malaya antara cadangan yang boleh dilaksanakan, kata legenda bola sepak negara Datuk Jamal Nasir Ismail.

Beliau mengesyorkan supaya skuad kebangsaan tidak lagi bergantung kepada seorang ketua jurulatih semata-mata, sebaliknya dikendalikan oleh panel empat jurulatih tempatan berpengalaman yang berkongsi tanggungjawab dalam menentukan hala tuju pasukan.

Menurut Jamal, bekas pengendali kebangsaan Datuk Dollah Salleh, Datuk Ong Kim Swee dan Tan Cheng Hoe bersama Datuk Zainal Abidin Hassan dianggap paling sesuai membentuk gabungan yang disifatkannya sebagai ‘panel ketua jurulatih’ bagi menguruskan skuad.

“Mengapa tidak kita wujudkan apa yang saya panggil panel ketua jurulatih? Bukan seorang ketua jurulatih sahaja, tetapi empat jurulatih yang berkongsi tanggungjawab terhadap pasukan kebangsaan.

“Lebih baik ada lebih ramai yang berfikir berbanding seorang sahaja. Setiap jurulatih boleh menyumbang idea, pandangan dan pendekatan masing-masing dalam membina pasukan,” katanya.

Jamal percaya gabungan empat figura berpengalaman itu mampu menawarkan perspektif yang lebih luas berbanding sistem konvensional yang meletakkan segala tanggungjawab kepada seorang individu. 

Malaysia dijadual menyertai Piala ASEAN dari 24 Julai hingga 26 Ogos ini sebelum menghadapi cabaran sulung Piala ASEAN FIFA yang akan berlangsung pada jendela antarabangsa FIFA antara September hingga Oktober.

Pada masa sama, Jamal sekali lagi menegaskan kepercayaannya bahawa jurulatih tempatan seharusnya diberikan lebih banyak ruang dan kepercayaan untuk memimpin skuad kebangsaan tanpa campur tangan berlebihan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN