PETALING JAYA: Ketua jurulatih interm Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe perlu menyediakan skuad kecemasan menjelang aksi Piala AFF 2026 yang bakal membuka tirai pada 25 Julai ini.
Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, gabungan pemain berpengalaman dan muka baharu perlu diberi perhatian dengan kejohanan serantau itu bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Pemain lama juga saya rasa masih akan dipanggil. Pemain seperti Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim masih mempunyai peranan penting.
“Pada masa sama, ramai pemain baharu yang menunjukkan prestasi baik dalam liga tempatan dan mereka juga wajar diberikan peluang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Skuad Harimau Malaya pernah membariskan pemain senior dan muka baharu dalam saingan Piala AFF 2024 yang dibarisi Haqimi Azim Rosli, Fergus Tierney, Najmudin Akmal Kamal Akmal, Daryl Sham George dan Muhammad Abu Khalil.
Skuad berkenaan turut menampilkan muka baharu lain seperti Danial Amier Norhisham, Jimmy Raymond dan Harith Samsuri.
Skuad Harimau Malaya ketika itu menampilkan gabungan seimbang pemain berpengalaman dan muda iaitu dengan lapan pemain berusia 23 tahun ke bawah dengan purata umur skuad ialah 25.9 tahun.
Dalam pada itu, Wan Jamak turut menegaskan tempoh persiapan yang singkat serta ketiadaan banyak aksi persahabatan antarabangsa menjadi cabaran utama buat pengendali kelahiran Kedah itu dalam membentuk pasukan mantap.
“Ini satu cabaran kepada Cheng Hoe. Setiap pasukan yang mahu dibentuk perlu ada perlawanan persahabatan untuk menilai taktikal dan pemain yang sesuai.
“Kalau tiada peluang menentang pasukan luar, mungkin perlawanan dengan pasukan negeri atau kelab boleh membantu, tetapi aksi persahabatan tetap penting untuk membina sebuah pasukan yang mantap.
“Dalam saingan peringkat serantau, bukan sahaja Thailand, Indonesia dan Vietnam yang perlu diberi perhatian. Pasukan seperti Kemboja, Laos dan Myanmar juga sudah meningkat.
“Kita tidak boleh pandang rendah mana-mana pasukan kerana perlawanan pertama sangat penting untuk membina keyakinan,” katanya.
Skuad Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan B bersama Laos, Myanmar, Thailand dan Filipina dengan aksi pembukaan menentang Myanmar pada 25 Julai ini. – UTUSAN










