PETALING JAYA: Bekas jaguh skuasy wanita negara, Low Wee Wern mengambil keputusan untuk bersara di usia 33 tahun selepas dua dekad menabur bakti di dalam gelanggang.
Wee Wern, yang juga bekas pemain No. 5 Dunia membuat pengumuman itu menerusi satu hantaran di laman media sosialnya pada tengah malam semalam.
Keputusan itu dibuat disebabkan Wee Wern bergelut sejak beberapa tahun lepas dengan kecederaan kaki yang menimpa sejak 2014.
Dalam tempoh itu, Wee Wern terpaksa menjalani empat siri pembedahan dengan yang terakhir adalah pada 2021.
“Dengan emosi yang bercampur-campur saya mengumumkan persaraan saya daripada skuasy profesional pada hari ini tidak dapat dielakkan tetapi betapa perjalanannya.
“Saya berterima kasih kepada pasukan saya yang menyokong saya, penaja saya dan semua orang di sepanjang karier. Sokongan yang tidak berbelah bahagi yang saya terima telah menjadi pendorong di sebalik perjalanan yang tidak dapat dilupakan ini.
“Walaupun bab ini sudah berakhir, semangat saya untuk sukan ini kekal dan akan terus memberikan inspirasi kepada orang lain. Inilah permulaan yang baharu, perjalanan yang baharu dengan penuh dorongan, keazaman dan motivasi.
“Saya teruja dengan peluang yang terbentang di hadapan saya. Terima kasih semua kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan yang luar biasa ini. Saya sangat bersyukur,” luah Wee Wern di laman media sosialnya.
Wee Wern pernah menjadi juara kebangsaan sebanyak empat kali selain turut membantu Malaysia memenangi pingat emas acara berpasukan di Sukan Asia Guangzhou 2010 dan Incheon 2014.
Kali terakhir di pentas kompetitif adalah Terbuka New Zealand Disember lalu yang menyaksikan Wee Wern tewas di pusingan kedua kepada Nele Gilis.










