Wajib curi mata dengan Oman- Hamidin

Wajib curi mata dengan Oman- Hamidin

HAMIDIN sentiasa turun memberi kata-kata semangat kepada pemain Harimau Malaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harimau Malaya ‘wajib’ meraih mata dalam dua aksi Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman, bulan depan bagi menjamin tempat ke peringkat seterusnya.

Skuad kendalian Kim Pan Gon akan berkunjung ke Muscat, Oman pada 22 Mac ini sebelum melayan kunjungan skuad Red Demons di Kuala Lumpur, empat hari kemudian.

Keputusan dalam dua aksi berdepan pasukan di ranking ke-74 dunia itu juga bakal mempengaruhi peluang Harimau Malaya untuk menempah tiket lebih awal ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Hal ini kerana juara dan naib juara kumpulan akan meraih slot automatik ke Piala Asia 2027 dan melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Berjaya memungut enam mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan dalam dua aksi awal sebelum ini meletakkan skuad kebangsaan di landasan terbaik untuk sekali lagi layak ke pusingan akhir Piala Asia.

Untuk memastikan hasrat Malaysia layak buat kali kedua berturut-turut di Piala Asia secara merit, persiapan rapi harus dilakukan pengurusan pasukan kebangsaan dalam memastikan peluang untuk Harimau Malaya menuju ke Arab Saudi terbuka luas.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Kim Pan Gon sudah menilai pertembungan dengan Oman dan akan merangka perancangan terbaik.

Katanya, memandangkan saingan Liga Malaysia (Liga M) akan bermula pada Mei, Harimau Malaya merancang untuk mengadakan latihan awal selain berusaha untuk mendapatkan sekurang-kurangnya dua aksi persahabatan sama ada di Malaysia atau luar negara.

“Walaupun (Harimau Malaya) ada enam mata, lawan Oman sekurang-kurangnya kita mesti dapat seri atau satu menang satu kalah. Kita tak boleh kalah kedua-dua aksi itu.

“Kalau itu terjadi (kalah), risiko kita tinggi kerana akan menentang Kyrgyzstan di tempat lawan dan berdepan Taiwan di gelanggang sendiri.

“Walaupun lawan Taiwan mungkin kita boleh menang, berdasarkan ranking, tapi dengan Oman kita mesti curi mata. Kalau kita layak maknanya kita konsisten di Piala Asia 2027,” kata Hamidin.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyenaraikan Malaysia sebagai antara lima pasukan yang mempamerkan prestasi luar jangka dalam kempen kelayakan.

Harimau Malaya yang berada di tangga ke-130 dunia memimpin Kumpulan D, mendahului dua pasukan ranking lebih tinggi, Oman (74) dan dan Kyrgyzstan (98) yang berkongsi tiga mata, manakala Taiwan (154) di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN