PETALING JAYA: Pemain tengah kelab Amerika Syarikat, Sporting JAX, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal mengakui teruja untuk menyarung jersi Harimau Malaya buat kali pertama.
Wan Kuzain antara 26 pemain yang dipanggil jurulatih sementara skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk kempen Piala AFF 2026 yang bermula pada 25 Julai ini.
Selepas mengetahui namanya dipanggil dalam kem kali ini, Wan Kuzain menzahirkan perasan gembira kerana impiannya menyarung jersi negara menjadi kenyataan.
“Sangat teruja,” katanya ringkas di laman sosial.
Untuk rekod, Wan Kuzain sebelum ini pernah dipanggil menyertai latihan skuad Malaysia Bawah 22 Tahun (B-22) untuk Sukan SEA 2019.
Bagaimanapun, namanya terpaksa disisihkan untuk skuad akhir negara ke temasya itu susulan isu dokumentasi kerakyatan.
Wan Kuzain antara tiga pemain yang berpangkalan di luar negara yang dipanggil untuk skuad kali ini selain Richard Chin (Ross County FC) dan Hadi Fayyadh Abdul Razak yang kini bersama kelab Jepun, Vencendor Mie United.
Skuad Harimau Malaya bakal berdepan Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF 2026 pada 25 Julai ini.
Dalam perkembangan lain, Wan Kuzain dikhabarkan bakal melebarkan kariernya di Malaysia apabila dikaitkan dengan Negeri Sembilan untuk harungi saingan di Liga Super musim depan.
Menguatkan lagi spekulasi ini apabila Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan, Faliq Firdaus turut memuat naik gambarnya bersama Wan Kuzain di IG Story miliknya. – UTUSAN










