PETALING JAYA: Tiga pemain berpangkalan luar negara menjadi tumpuan utama dalam senarai 26 pemain Harimau Malaya yang diumumkan oleh ketua jurulatih interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, semalam bagi menghadapi kempen Piala Hyundai ASEAN 2026.
Mereka terdiri daripada Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal yang kini beraksi bersama Sporting JAX di Amerika Syarikat, Richard Chin dari kelab Scotland, Ross County FC, serta penyerang Hadi Fayyadh Abdul Razak yang menyarung jersi Vencedor Mie United di Jepun.
Lebih menarik, hampir separuh daripada skuad kali ini dibarisi pemain berusia bawah 25 tahun, sekali gus memberi gambaran bahawa kejohanan ASEAN bakal menjadi pentas penting untuk menguji kelompok pemain pelapis negara.
Daripada 26 pemain yang dipanggil, wakil Johor Darul Ta’zim (JDT) II mendominasi senarai apabila enam pemain mereka dipilih bagi meraih penampilan sulung bersama skuad senior.
Kelompok pemain tersebut terdiri daripada Daryl Sham George, Pavithran Gunalan, Ziad El Basheer Norisham, Alif Ahmad, Faris Danish Asrul dan Haziq Aiman Esa yang kini berpeluang membuktikan kemampuan masing-masing di bawah kendalian Cheng Hoe.
Selain barisan pemain muda JDT II, Cheng Hoe turut mengekalkan elemen pengalaman menerusi kehadiran beberapa tonggak senior seperti Paulo Josue, Mohamadou Sumareh, Dominic Tan, Syafiq Ahmad, Rodney Celvin Akwensivie dan Zhafri Yahya.
Ketiadaan tonggak utama seperti Arif Aiman, Syihan Hazmi, Faisal Halim dan lain-lain sudah dijangka awal memandangkan saingan serantau itu berlangsung di luar kalendar rasmi FIFA.
“”Beliau (Cheng Hoe) berdepan cabaran besar dalam membentuk skuad kali ini kerana Piala Hyundai ASEAN 2026 berlangsung di luar Kalendar Perlawanan Antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), selain kebanyakan kelab Liga Super baharu memulakan latihan pramusim,” kata FAM dalam satu kenyataan, semalam.
Semua pemain yang dipanggil akan melapor diri ke kem latihan pusat bermula 15 Julai bagi menjalani persiapan selama lapan hari sebelum berlepas ke Yangon pada 23 Julai.
Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan B menentang Myanmar di Stadium Thuwunna pada 25 Julai sebelum melayan Laos di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras tiga hari kemudian.
Harimau Malaya selepas itu akan bertandang ke Bangkok untuk bertemu Thailand pada 1 Ogos sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Filipina di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 8 Ogos.
Dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir yang berlangsung secara timbal balik pada 15 atau 16 Ogos dan 18 atau 19 Ogos, manakala final dijadual berlangsung pada 22 dan 26 Ogos.
Untuk rekod, skuad Harimau Malaya pernah menjulang Piala AFF sekali pada 2010 lalu dibawah bimbingan Datuk K. Rajagopal dan muncul naib juara tiga kali pada 1996, 2014 dan 2018. – UTUSAN










