Tang Jie-Ee Wei mara ke separuh akhir Thailand Masters

Tang Jie-Ee Wei mara ke separuh akhir Thailand Masters

AKSI pemain beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya selangkah lagi ke pentas akhir, beregu No. 9 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya mengelak daripada terus ditimpa badi kekalahan selepas mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Thailand Masters di Bangkok, Thailand, hari ini.

Pasangan muda negara itu yang diletakkan sebagai pilihan kedua, menundukkan Robin Tabeling-Selena Peik dari Belanda 21-12, 25-23 di peringkat lapan terbaik.

Kemenangan tersebut menyaksikan Tang Jie-Ee Wei melebarkan rekod pertemuan mereka ke atas Tabeling-Peik yang menghuni ranking ke-15 dunia kepada 3-1.

Pada separuh akhir, esok, lawan yang menanti gandingan Malaysia itu ialah pilihan ketiga, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito.

Beregu Jepun itu mengetepikan pasangan tuan rumah, Ruttanapak Outphong-Jhenicha Sudjairaparat 21-16, 21-16 dalam satu lagi suku akhir.

Pertembungan dengan Midorikawa-Saito, esok, adalah peluang terbaik Tang Jie-Ee Wei membalas dendam ekoran kekalahan mereka kepada pasangan itu di peringkat 16 terbaik Terbuka Malaysia, bulan lalu.

Gandingan negara itu yang kini memburu tiket ke Sukan Olimpik di Paris perlu kekal konsisten dalam setiap kejohanan yang mereka sertai jika berhajat melakukan kemunculan sulung pada temasya berprestij tersebut.

Hanya lapan slot ditawarkan untuk acara beregu campuran dan Tang Jie-Ee Wei kini hanya dipisahkan satu anak tangga daripada kelayakan ke Olimpik.

Sebelum ini, jurulatih beregu campuran Malaysia, Nova Widianto mengingatkan pasangan muda itu untuk keluar daripada badi kekalahan di pusingan awal bagi mengelak kejatuhan ranking mereka.

Pengendali berasal dari Indonesia itu yang juga merupakan bekas juara dunia berkata, kedudukan ranking berupaya membantu Tang Jie-Ee Wei mengelak bertemu lawan yang kuat di pusingan awal pada mana-mana kejohanan yang mereka sertai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×