PETALING JAYA: Atlet berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom tidak berselindung untuk mahu cuba bawa pulang pingat emas buat julung kalinya di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) yang akan bermula di New Delhi hari ini.
Shah yang tidak pernah merasai kemahsyuran menjulang gelaran jaguh Asia akan memikul tanggungjawab sebagai pelumba utama bagi mempertahankan pingat emas acara pecut dan keirin yang dimenangi Datuk Azizulhasni Awang pada edisi lalu.
Percubaan terbaik Shah adalah ketika meraih pingat perak acara keirin ketika edisi 2022 di New Delhi, hanya tewas tipis kepada pelumba Jepun, Kohei Terasaki, sementara tahun lalu Shah terpaksa akur meraih pingat gangsa dalam acara sama, di belakang Azizul yang meraih emas disusuli Shinji Nakano yang merangkul perak.
Shah juga jelaskan keadaan dirinya kini semakin pulih daripada kecederaan bahu dan kaki ketika berlatih di Velodrom Nasional, Nilai penghujung Januari lalu.
“Untuk saya, saya sudah banyak kali dikecewakan, selalu tewas hanya beberapa centimeter (cm) sahaja di garisan penamat dan raih pingat perak, jadi kali ini kalau boleh saya nak ‘pecah telur’, bawa balik pingat emas pula.
“Dari dahulu lagi saya teringin (pingat emas), malah ketika saya dan Datuk Azizul masuk ke final tahun lalu pun saya ada mengimpikannya, harapnya kali ini rezeki memihak kepada saya,” jelas Shah kepada Utusan Malaysia.
Azizul tidak menyertai kempen Malaysia di New Delhi kali ini kerana dari awal telah menyatakan edisi lalu di Nilai, Negeri sembila merupakan penampilan terakhirnya di ACC, tambahan dia masih lagi dalam proses pemulihan selepas menyertai Kejohanan Trek Piala Negara-Negara UCI di Adelaide, Australia awal bulan ini.
“Kalau nak katakan tanpa Datuk Azizul, ada beberapa edisi ACC sebelum ini pun kami bersaing tanpa kehadirannya. Kami sebagai generasi baru dalam pasukan ini juga tidak boleh selalu mengharapkan diri dia sahaja, tambahan saya juga sudah selalu bertanding dengannya dan saya akan gunakan segala pengalaman yang ada untuk saingan kali ini.
“Bagi saya, saya tidak berasa tertekan kerana sudah biasa. Selama ini juga saya sudah biasa menggalas tanggungjawab bersama-sama Datuk Azizul dalam kejohanan-kejohanan sebelum ini.
“Untuk saingan kali ini saya kena berwaspada juga, takut dilanggar sehingga mengalami kecederaan kerana Sukan Olimpik sudah tidak lama lagi.
“Tambahan mungkin ada pelumba yang agresif kerana terdesak untuk mencari mata ke Sukan Olimpik, jadi saya harus berhati-hati,” tambahnya.-UTUSAN










