PETALING JAYA: Perak FC melakukan transformasi besar-besaran dengan hampir 75 peratus muka baharu akan memperkuatkan skuad The Bos Gaurus bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) untuk musim 2024/2025.
Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah berkata, bagi memastikan pasukan dapat bersaing dengan pasukan lain di Liga Super, mereka berjaya mendapatkan beberapa pemain penting bagi mengisi posisi yang kelihatan agak bermasalah pada musim lalu.
Yusri berkata, selain tambahan pemain tempatan, beberapa tonggak import juga berada dalam radar Perak FC dan kini mereka dalam perbincangan akhir sebelum membuat sebarang keputusan untuk menyarung jersi The Bos Gaurus
“Ada pemain yang buat keputusan untuk keluar dan pastinya kekosongan itu harus diisi oleh pemain baharu. Boleh saya katakan hampir 75 peratus pemain baharu akan saya bawa masuk untuk menguatkan pasukan demi memberikan tentangan lebih sengit bagi musim 2024/2025.
“Tumpuan kita di beberapa posisi yang kita rasa kelemahan yang besar pada musim lalu. Antaranya Tommy Mawat di pertahanan kiri dan juga boleh beraksi di posisi pertahanan tengah sekiranya beraksi dengan tiga pertahanan. Kemudian saya masukan Ariff Ar-Rasyid di posisi tengah dan kanan.
“Kemasukan Azfar ( Fikri) daripada Terengganu juga serba sedikit sebanyak menguatkan kita punya bahagian kiri dan kanan ketika menyerang. Terakhir kita masukan Ramadhan (Hamid) di posisi penjaga gol.
“Kita juga telah kenal pasti (calon pemain import) tetapi masih lagi dalam urusan perbincangan peringkat terakhir dan ada kemungkinan bulan Mac atau hujung bulan Februari ataupun pertengahan bulan Februari kita akan muktamatkan perbincangan yang berlaku ketika ini,”katanya.
Dalam pada itu, Yusri berharap segala perancangan untuk pasukan akan berjalan lancar kerana Liga M akan bermula pada bulan Mei nanti dan pemain perlu bersedia lebih awal termasuk latihan ketika bulan Ramadan.
Untuk rekod, The Bos Gaurus antara pasukan yang menampilkan begitu ramai pemain muda dalam saingan Liga Super musim 2023 dan mereka menamatkan saingan liga di kedudukan ke-11 daripada 14 pasukan.-UTUSAN










