IPOH: Kapten skuad B-23 Kyrgyzstan, Adilet Kanybekov menjadi pemain import baharu Perak FC bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.
Kanybekov, 21, diperkenalkan kepada penyokong pada Karnival Pelancaran Jersi Home Perak FC 2024/2025 di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini, semalam.
Pemain berketinggian 1.80 meter dan pernah beraksi di Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China itu akan beraksi posisi pertahanan tengah bagi mengisi kuota import Asia.
Kehadiran Kanybekov yang boleh beraksi di bahagian tengah juga dilihat mampu meningkat momentum pasukan apabila akan digandingkan dengan kapten, Luciano Guaycochea.
Kanybekov menjadi pemain baharu kelima Perak FC yang diumumkan selain Tommy Mawat Bada (Negeri Sembilan), Ariff Ar-Rasyid Ariffin (Kelantan United), Mohamad Ramadhan Ab Hamid (PDRM FC) dan Nur Azfar Fikri Azhar (Terengganu FC).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin berkata, Perak FC juga bakal mendapatkan khidmat penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Muhammad Haziq Nadzli.
“Pengumuman berkenaan pemain ini akan dibuat dalam masa terdekat dan buat masa ini ada beberapa isu yang perlu diselesaikan.
“Bagi kami, dia seorang penjaga gol yang berkualiti namun kita harap dia dapat bersaing dengan penjaga gol lain sedia ada dalam skuad,” katanya.
Terdahulu, bagi menyemarakkan pentas Liga Malaysia (Liga M) musim ini, Perak FC melancarkan kit jersi utama terbaharu.
Mengekalkan kombinasi warna keramat kuning hitam terus menjadi pilihan skuad The Bos Gaurus dengan menggunakan jenama tempatan, Cheetah pada harga RM159 sehelai untuk ‘player issue’ manakala RM39 bagi ‘fan issue’.
Kelab itu juga turut melancarkan tiga jenis pas bermusim pada kadar harga RM189 (Silver); RM300 (Gold) dan pas bermusim premium RM1250 (Black) dan pembeli dapat menyaksikan semua perlawanan yang membabitkan pasukan Perak FC di laman sendiri. -UTUSAN










