PETALING JAYA: Penganjuran konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) semalam mengundang persoalan tentang keadaan permukaan padang di ‘kandang’ keramat Harimau Malaya itu menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Biarpun Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) tampil menjelaskan permukaan padang SNBJ tidak akan terjejas dengan penganjuran konsert berkenaan, ramai yang tidak mahu melihat Malaysia dimalukan sekali lagi dengan kualiti padang yang teruk untuk aksi berkelas antarabangsa.
“PSM telah melibatkan Labosport dalam mempersiapkan padang Stadium Nasional Bukit Jalil bagi konsert Ed Sheeran yang akan diadakan pada 24 Februari ini (semalam) dan perlawanan Kelayakan Piala Dunia Malaysia menentang Oman pada 26 Mac akan datang.

“Sebagai langkah awal, PSM telah memindahkan rumput seluas 1900m bagi menempatkan pentas dan menara sistem audio mengikut tema “world tour” Ed Sheeran. Rumput yang telah dipindahkan kini diberi jagaan intensif termasuk pengairan dan pembajaan supaya kesihatan rumput berada pada tahap optimum.
“Selain itu, PSM bersedia untuk menggunakan rumput dari tapak semaian, sekiranya perlu. Tapak semaian sedia ada mempunyai keluasan rumput melebihi 2000m2 untuk menampung keperluan padang SNBJ,” jelas PSM dalam satu kenyataan.
Tahun lalu, PSM turut berjanji akan segera menyelesaikan masalah padang yang rosak selepas SNBJ menganjurkan konsert Coldplay, namun gagal berbuat demikian apabila menyajikan padang bertompok-tompok untuk final Piala Malaysia antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC pada 8 Disember lalu.
Sebelum itu, aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia menentang Kyrgyzstan juga berlangsung dalam keadaan padang yang tidak memuaskan selepas SNBJ menjadi hos kepada penganjuran Pestabola Merdeka biarpun keadaan rumput baharu masih belum cukup matang.
Sekiranya padang di SNBJ tidak berada dalam keadaan yang memuaskan, pilihan yang FAM ada adalah menggunakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Johor atau pun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Terengganu.-UTUSAN










