Luqman intai peluang Liga 3 Jepun

Luqman intai peluang Liga 3 Jepun

LUQMAN Hakim dikatakan akan bersama kelab Divisyen 3 Jepun sepanjang musim ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyerang skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin akan terus berkelana di luar negara apabila dilaporkan akan menandatangani kontrak pinjaman selama setahun bersama kelab divisyen 3 Jepun dari KV Kortrijk.

Difahamkan, kontrak pinjaman itu akan bermula pada Januari sehingga Disember 2024 tetapi identiti serta nama kelab tersebut tidak didedahkan lagi.

Bagaimanapun terdapat beberapa kelab Liga 2 dan 3 Jepun menunjuk minat terhadap penyerang sensasi itu. Namun, Luqman lebih memilih untuk bersama kelab Liga 3 Jepun sebagai peluang untuk permulaan baharu dan peningkatan masa bermain.

Langkah yang diambil oleh penyerang yang berusia 21 tahun itu memberikan pengalaman berharga dan pendedahan kepada gaya permainan yang berbeza.

Dalam pada itu, perpindahan ini merupakan peluang Luqman Hakim untuk mendapatkan kembali prestasi terbaiknya sambil mengutip pengalaman berguna beraksi dalam Liga Jepun.

Penyerang muda itu akan menerima sokongan kewangan daripada KV Kortrijk bagi menampung sebahagian daripada gajinya sepanjang tempoh pinjaman itu.

Pemain kelahiran Kelantan itu juga dijangka akan menyertai kelab tersebut pada penghujung Januari 2024 sebelum saingan liga bermula pada Februari.

Terdahulu, Luqman menyertai kelab Iceland, Njardvik FC secara pinjaman selama enam bulan pada 7 Februari tahun lepas susulan kontraknya bersama KV Kortrijk akan berakhir Jun 2025 dan beliau berjaya mencipta impak positif bersama kelab tersebut.

Beliau menjaringkan beberapa gol dalam saingan liga dan juga Piala Bola Sepak Iceland sepanjang menyarung jersi Njardvik.

Beliau juga dijangka akan menyertai skuad Malaysia B-23 bagi menghadapi saingan Piala Asia B-23 yang berlangsung di Qatar pada April nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN