‘Saya tekad ubah nasib keluarga, sara ibu, ayah’

‘Saya tekad ubah nasib keluarga, sara ibu, ayah’

NUR Diana Zahirah Yusni anak seorang nelayan yang memperoleh keputusan 9A SPM menerima kunjungan Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil kediamannya di Kampung Sanglang, Arau, Perlis, semalam.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Laporan Utusan Malaysia berkaitan kejayaan anak nelayan, Nur Diana Zahirah Yusni, 18, memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menarik perhatian ramai pihak yang mengunjungi rumahnya di Kampung Sanglang di sini.

Semalam, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil keluarga remaja berkenaan dan menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan Nur Diana, sekali gus membuktikan kesempitan hidup dan latar belakang keluarga bukanlah penghalang untuk meraih berjaya dalam pendidikan.

Kejayaan tersebut juga menangkis stigma bahawa anak nelayan sering kali berdepan kekangan hingga tercicir dalam pelajaran.

“Dia (Nur Diana) telah membuktikan kesempitan hidup dan latar belakang keluarga bukan penghalang untuk berjaya dengan cemerlang dalam pendidikan,” katanya.

Muhammad Faiz turut menyampaikan bantuan sebanyak RM1,000 dari LKIM serta sumbangan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) sebanyak RM500, bakul makanan dan bantuan tambahan sebanyak RM500 daripada Persatuan Nelayan Negeri (PELARIS).

Khamis lalu, Utusan Malaysia melaporkan, penat lelah seorang nelayan, Yusni Mat Yusop,49, mencari rezeki bagi menyediakan keperluan keluarga berbalas apabila anaknya berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A SPM.

Lebih membanggakan, Nur Diana menjadi pelajar pertama dalam sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang yang terletak di pinggir bandar mendapat keputusan semua A.

Sementara itu, Nur Diana berkata, tekad untuk mengubah nasib keluarga menguatkan semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga memperoleh keputusan 9A SPM.

Katanya, dia melihat bagaimana kepayahan bapa turun ke laut seawal pagi bagi mencari rezeki bagi memenuhi keperluan keluarga.

“Saya tekad mahu ubah nasib keluarga, hendak sara dan bantu daripada segi kewangan bagi mengubah hidup mak dan ayah. Mak tidak bekerja dan ayah seorang sahaja bekerja yang selalunya keluar ke laut pukul 4 pagi dan keesokkan hari pada waktu sama baru pulang.

“Ayah, kadang-kala dalam keadaan tidak sihat sekali pun tetap turun ke laut demi mencari rezeki untuk kami sekeluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN