Kursus tidak kena dengan minat, lepasan SPM pilih Tingkatan 6

Kursus tidak kena dengan minat, lepasan SPM pilih Tingkatan 6

PELAJAR meraikan keputusan cemerlang SPM 2025. Ramai lepasan SPM memilih Tingkatan 6 apabila tawaran kursus pengajian ke universiti tidak menepati minat dan pelan kerjaya mereka. - GAMBAR HIASAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menolak tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) melalui Unit Pusat Universiti (UPU) selepas kursus diterima tidak menepati minat dan pelan hala tuju mereka.

Perkara tersebut dikongsikan oleh mereka di media sosial termasuk Threads dan X, dengan alasan pelbagai faktor termasuk bidang pengajian bukan pilihan utama, kekangan kewangan, kos pengajian serta mahu menunggu tawaran institusi lain yang lebih selari dengan perancangan kerjaya masing-masing.

Mereka memberi alasan, meneruskan pengajian dalam bidang tidak diminati boleh menjejaskan motivasi, prestasi dan komitmen sepanjang tempoh pengajian.

Sebagai alternatif, rata-rata menyatakan kesediaan untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam untuk ambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai platform mengejar impian dan cita-cita mereka.

Seorang lepasan SPM dikenali sebagai iizznha berkata, dia menerima tawaran ke politeknik, namun memilih menyambung STPM kerana kursus ditawarkan merupakan pilihan ke-10 dan bukan bidang diminatinya.

“Jadi saya pilih STPM kerana tidak mahu meneruskan pengajian dalam bidang yang saya sendiri tidak yakin boleh bawa,” tulisnya di Threads.

Seorang lagi pengguna, bbalqz, berkongsi bahawa dia menerima tawaran ke Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), namun memilih STPM kerana berdepan kekangan kewangan.

“Buat masa ini, STPM lebih sesuai dengan keadaan saya kerana kosnya lebih rendah dan masih membuka peluang untuk sambung belajar selepas ini,” katanya.

Sementara itu, ft._ney3 ber­kata, dia menolak tawaran Mat­rikulasi Perlis dalam bidang perakaunan kerana tidak meminati kursus tersebut.

Katanya, dia turut menerima tawaran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Tamhidi Syariah dan Undang-Undang, namun masih mempertimbangkannya sementara menunggu tawaran daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam bidang Teaching English as a se­cond Language (TESL).

“Untuk tawaran Tamhidi Syariah dan Undang-Undang pula, saya masih fikir lagi sebab saya sedang tunggu keputusan IPG dalam bidang TESL,” tulisnya di X.

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna dikenali sebagai thyhanzs5_ berkata, dia menerima tawaran ke Universiti Teknologi MARA (UiTM), namun memilih menyambung Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kerana merasakan kursus yang diterima tidak selari dengan perancangan masa depannya.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas menilai semula hala tuju bidang tersebut dan peluang yang boleh dikejar melalui laluan lain.

“Saya pilih sambung STAM kerana laluan itu lebih dekat dengan apa yang saya mahu kejar selepas ini,” katanya.

Tinjauan itu turut mendapati, sebahagian lepasan SPM ti­dak mahu menerima tawaran semata-mata untuk memasuki institusi pengajian tinggi sekiranya bidang ditawarkan tidak selari dengan minat, kemampuan kewangan dan hala tuju masa depan.

Keadaan itu menunjukkan tindakan mereka menolak tawaran UPU tidak bermaksud mereka menolak peluang belajar, sebaliknya memilih laluan yang lebih sesuai dengan minat, keadaan keluarga dan peranca­ngan kerjaya masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN