Harimau Malaya fokus rentap ego Jordan

Harimau Malaya fokus rentap ego Jordan

PAULO Josue berharap Harimau Malaya mendapat kemenangan pertama menentang Jordan dalam Piala Asia pada 16 Januari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aksi menentang Jordan dalam perlawanan pertama pada 16 Januari ini bakal menjadi penentu nasib anak-anak buah Kim Pan Gon dalam kempen Piala Asia 2023.

Perkara itu diakui sendiri oleh pemain tengah Harimau Malaya, Paolo Josue yang melihat kemenangan ke atas Jordan mampu melonjak semangat Harimau Malaya untuk melangkah jauh.

Bagaimanapun katanya, bukan tugas mudah untuk mengatasi Jordan yang mempunyai ranking lebih baik dan dia menuntut agar semua pemain memberikan segala-galanya di atas padang.

“Kami sedang menyesuaikan diri dengan cuaca dan padang. Sebab itulah jurulatih mahu kami tiba awal di sini. Kita ‘underdog’ di Piala Asia, Kita mampu kejutkan mereka jika mereka bermain dengan teruk.

“Saya di sini untuk membantu selagi mana jurulatih memerlukan saya. Jurulatih Kim mempercayai saya dengan membawa saya ke Qatar dan saya bersedia untuk memberikan segalanya buat pasukan.

“Barisan kejurulatihan sudah memberikan banyak maklumat tentang Jordan. Jordan mempunyai skuad yang bagus dan beberapa pemain yang bermain di Eropah namun kita mampu cipta kejutan,” kata Josue.

Mengulas lanjut, pemain kelahiran Brazil itu berkata, Harimau Malaya akan memberi fokus kepada satu-satu perlawanan dan kini misi terarah kepada usaha untuk mengutip mata ketika berdepan Jordan.

“Kami berada di sini untuk memenangi perlawanan walaupun mereka lawan yang hebat. Jika kita tidak kalah aksi pertama dan meraih mata, kita boleh memikirkan peluang ke peringkat seterusnya namun kita perlu lakukan satu-persatu. Kita perlu fikirkan tentang Jordan terlebih dahulu.”

“Kita jalani latihan yang banyak kerana kaedah Pan Gon amat ketat. Semua staf kejurulatihan disini membantu kita untuk bersedia dan cergas sepenuhnya sebelum kejohanan bermula,” kata Josue yang kini menyumbang empat gol buat Harimau Malaya.

Paulo Josue yang berusia 34 tahun antara pemain berpengalaman yang membarisi skuad Harimau Malaya di Piala Asia Qatar selain daripada Natxo Insa, Brendan Gan, Romel Morales dan Endrick Dos Santos.

Untuk rekod, Jordan kini mendapat tonik tambahan menjelang kempen Piala Asia 2023 selepas mereka melakar kemenangan 2-1 ke atas Qatar dalam aksi persahabatan kelmarin.

Malaysia perlu mengambil kesempatan ini untuk mencuri tiga mata, sekali gus bakal melonjakkan mata ranking namun kehadiran empat pemain yang bermain dan pernah bermain dalam Liga Malaysia boleh menjadi duri dalam daging buat Harimau Malaya.

Empat pemain, iaitu Yazan Al Arab, Fadi Awad, Noor Al Rawabdeh dan Mahmoud Al Mardi adalah sebahagian daripada 26 pemain yang dibawa jurulatih, Hussein Ammouta ke Qatar bagi mengharungi tiga perlawanan kumpulan yang turut dihuni Bahrain dan Korea Selatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN