PETALING JAYA: Pengagihan subsidi bahan api kepada nelayan hanya bertujuan menampung sebahagian kos ke laut dan bukan meliputi keseluruhan kos perbelanjaan operasi harian mereka.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, prinsip subsidi adalah membantu pada kadar munasabah agar nelayan masih mampu meneruskan aktiviti penangkapan ikan.
Menurutnya, kerajaan tidak menanggung kesemua kos operasi memandangkan kerajaan juga perlu melihat kepada keperluan mengimbangi kedudukan ekonomi semasa, khususnya ketika berdepan tekanan akibat krisis tenaga global.
“Sekiranya nelayan seperti di Zon A memerlukan tambahan bahan api melebihi kuota ditetapkan, mereka perlu membelinya pada harga runcit seperti pengguna lain.
“Lagipun nelayan masih boleh memanfaatkan bantuan tambahan seperti subsidi Budi Madani (BUDI95) bagi mengurangkan beban kos harian mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Mohd. Faizal Mohd. Zabri menyatakan, kuota subsidi bahan api sebanyak 50 liter sehari yang diperuntukkan kepada nelayan Zon A tidak lagi relevan dengan keperluan operasi semasa, khususnya nelayan yang menggunakan pukat kembong dan rawai di seluruh negara.
Ini kerana, kebanyakan nelayan kini menggunakan enjin bot berkapasiti sehingga 200 kuasa kuda (hp), berbanding sekitar 85hp pada masa lalu.
Tambah Muhammad Faiz, daripada keseluruhan 16,727 bot Zon A yang berdaftar, hanya 52 bot menggunakan enjin berkapasiti 200 hp, menunjukkan jumlah itu tidak sampai satu peratus.
Katanya, majoriti nelayan masih menggunakan enjin kecil antara 30 hingga 60 kuasa kuda yang memadai dengan penggunaan sekitar 50 liter bahan api sehari.
“Kita faham bot yang menggunakan enjin berkapasiti sehingga 200 hp, memerlukan bahan api yang lebih untuk bergerak tetapi kerajaan tidak mampulah untuk tanggung semua kos tersebut, kita tanggung setakat 50 liter sehari sahaja.
“Bagi kepentingan nelayan, LKIM tidak berdiam diri dan tetap mengadakan pertemuan bersama kementerian berkaitan sambil menjalankan penelitian bagi menilai penambahan kuota subsidi.
“Sebab LKIM perlu meneliti secara menyeluruh jumlah bot aktif, kapasiti enjin, kekuatan bot serta hasil tangkapan supaya subsidi benar-benar bersasar dan memberi manfaat kepada nelayan serta rakyat serta tiada ketirisan berlaku,” katanya. – UTUSAN










