GEORGE TOWN: Pengusaha bas persiaran merayu kerajaan supaya mempertimbangkan pemberian subsidi diesel kepada sektor itu yang didakwa semakin terhimpit dengan kenaikan kos bahan api ketika ini.
Pengerusi Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara, Ahmad Ruslan Abdul Latiff berkata, pada masa ini, pengusaha bas persiaran tidak pernah menerima sebarang subsidi walaupun berdepan kos operasi yang tinggi berbanding sektor pengangkutan yang lain.
Menurutnya, cadangan pemberian subsidi diesel atau bantuan bersasar seperti program ‘Budi Madani’ juga wajar dipertimbangkan bagi memastikan kelangsungan industri tersebut pada masa depan.
“Bagi kami, pengusaha bas persiaran, walaupun bantuan sekitar 3,000 hingga 4,000 liter sebulan diberi kepada kami, kami anggap itu sudah cukup membantu dan kami amat bersyukur.
“Kos penggunaan diesel kami sangat tinggi. Sebagai contoh, satu perjalanan dari Pulau Pinang ke Melaka boleh mencecah kira-kira 900 liter diesel untuk satu trip,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, Ahmad Ruslan berkata, terdapat pengusaha bas persiaran yang terpaksa menghentikan operasi buat sementara waktu berikutan kenaikan harga diesel yang mendadak ketika ini.
“Ada pengusaha bas persiaran ini yang tidak beroperasi sejak perayaan Tahun Baharu Cina tempoh hari kerana kos minyak yang terlalu tinggi.
“Kadang-kadang, kami bukan tidak mahu beroperasi, tetapi apabila kos meningkat, kami tiada pilihan dan terpaksa menaikkan harga sewaan, yang akhirnya menjejaskan permintaan,” katanya.
Beliau berkata, situasi pengusaha bas persiaran berbeza berbanding sektor bas lain kerana mereka menerima pelbagai bentuk bantuan termasuk subsidi dan geran melibatkan pembelian kenderaan baharu dan sebagainya.
“Kami pula tidak pernah mendapat sebarang subsidi sejak dahulu. Tetapi, sektor lain masih menerima bantuan dan pada masa sama ada yang masih meminta kenaikan tambang. Kami hanya mahukan keadilan,” ujarnya. – UTUSAN










