Sumali selar mutu pengadilan Sukan Asia, minta rombak peraturan

Sumali selar mutu pengadilan Sukan Asia, cadang rombak peraturan ‘challenge’

Datuk Mohd. Sumali Reduan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan menempelak mutu pengadilan di Sukan Asia Hangzhou 2022, khususnya ketika perlawanan akhir acara regu antara skuad negara menentang Thailand.

Sumali akur Malaysia tewas dan terlepas peluang mempertahankan pingat emas acara itu, namun dia kesal memandangkan beberapa insiden yang sepatutnya menjadi memihak kepada Malaysia dinafikan pihak pengadil yang mungkin mengheret perlawanan ke set penentuan.

Salah satunya apabila hadangan dibuat Zarif Marican Ibrahim Marican dikatakan telah melepasi jaring ketika kedudukan 18-19 di set kedua.

Begitu juga satu lagi insiden penting di kedudukan 19-20, apabila libasan perejam Thailand, Pichet Pansan yang jelas keluar daripada gelanggang diberikan mata oleh pengadil sekaligus skuad negara tewas 15-21, 19-21.

Sumali mendakwa pengadil bertugas terdiri daripada Shamsul Kahar Lob, Richel Mansueto gagal menjalankan tugas dengan baik dan meragut peluang skuad negara di dalam perlawanan akhir.

Justeru Sumali akan mengemukakan aduan kepada Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan berharap badan induk itu akan mengambil tindakan selanjutnya.

“Saya rasa terkilan dengan pihak pengadilan, termasuklah penjaga garisan dan semua yang terlibat kerana kalau boleh biarlah individu yang mengendalikan perlawanan penting seperti final diadili oleh pengadil yang tepat dan berkualiti.

“Sebab saya lihat, kita ada ruang kebangkitan. Jika dua mata kontroversi tidak diberikan, ia mengubah keseluruhan perlawanan tersebut.

“InsyaAllah saya sudah meminta kepada pihak jawatankuasa PSM untuk mengumpul segala bukti video bagi diadukan kepada ASTAF,” jelas Sumali ketika dihubungi Utusan Malaysia.

AKSI pemain Malaysia ketika menentang Thailand dalam perlawanan akhir sepak takraw Sukan Asia 2022 di Hangzhou semalam. – IHSAN MAJLIS SUKAN NEGARA

Dalam masa yang sama, Sumali mendesak agar ASTAF merombak peraturan ‘challenge’ yang dilihat banyak kelompongan dalam memberikan keputusan lebih adil kepada pasukan bertanding.

Ketika ini, setiap pasukan diperuntukkan dua kali ‘challenge’ sahaja dalam setiap perlawanan tanpa mengira betul atau salah, dengan ulang tayang video tersebut tidak dipertontonkan kepada semua.

“Bagaimana proses challenge tersebut hanya dinilai oleh seorang pengadil tanpa ada ruang lain untuk kita melihat ketelusan keputusan dibuat.

“Sudahlah tidak ditunjukkan seperti badminton, malah hanya seorang sahaja pengadil yang menentukannya. Lebih pelik dua orang penjaga komputer yang bertanggungjawab mengendalikan proses challenge itu adalah orang Thailand, ketika Malaysia berdepan Thailand di dalam perlawanan final,” tambah Sumali.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya