KUALA LUMPUR: Pelakon dan aktivis alam sekitar, Natasha Hudson mengingatkan orang ramai agar tidak hanya melihat sisi indah Langkawi sebagai destinasi pelancongan dan lokasi pelaburan, sebaliknya memahami realiti kehidupan di pulau itu sebelum membuat keputusan untuk berpindah atau menetap dalam tempoh jangka panjang.
Menurut Natasha, pertumbuhan pesat sektor hartanah dan pembangunan mewah di Langkawi sememangnya sesuatu yang membanggakan, namun kemudahan asas yang menjadi keperluan penduduk juga perlu diberi perhatian sewajarnya.
Katanya, antara perkara yang sering terlepas pandang ialah hakikat bahawa Langkawi masih belum mempunyai hospital swasta, meskipun pelbagai projek pembangunan baharu giat dipromosikan kepada pembeli dan pelabur.
“Saya tertanya-tanya sama ada mereka yang bercadang untuk berpindah ke Langkawi, melabur atau membina kehidupan di sini benar-benar memahami realiti kehidupan di sebuah pulau. Dengan pelbagai pembangunan baharu, kediaman mewah dan peluang pelaburan yang sedang dipromosikan, adakah semua pihak sedar bahawa Langkawi masih belum mempunyai hospital swasta?
“Bagi saya secara peribadi, perkara itu bukan satu masalah besar kerana saya pernah mendapatkan rawatan di hospital kerajaan di sini dan saya sudah belajar untuk hidup dengan kemudahan yang tersedia. Namun bagi mereka yang datang bersama keluarga, merancang untuk bersara atau ingin menetap dalam tempoh yang lama, persoalan itu mungkin perlu difikirkan dengan lebih mendalam,” katanya di Threads.
Natasha berkata demikian menerusi satu perkongsian di media sosial yang mengundang perhatian warga maya, khususnya dalam kalangan mereka yang mempunyai minat untuk berhijrah atau melabur di pulau legenda itu.
Dalam pada itu, pelakon filem Chermin itu menjelaskan, pandangannya bukan bertujuan memperlekehkan Langkawi, sebaliknya lahir daripada rasa kasih terhadap pulau yang telah lama dianggap sebagai rumahnya.
“Saya mencintai Langkawi dan sangat bersyukur dapat memanggil tempat ini sebagai rumah. Sebab itu saya merasakan penting untuk orang ramai memahami kedua-dua aspek, iaitu impian yang sering dipromosikan dan juga realiti kehidupan seharian yang datang bersamanya.
“Membuat keputusan untuk berpindah, melabur atau menetap di sesuatu tempat bukan perkara kecil. Ia melibatkan banyak pertimbangan termasuk akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kemudahan awam yang lain. Saya percaya orang ramai berhak mendapat gambaran yang lengkap sebelum membuat keputusan sebesar itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Natasha berpandangan pembangunan yang berlaku di Langkawi perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh infrastruktur dan perkhidmatan asas demi menjamin kesejahteraan penduduk setempat serta komuniti baharu yang bakal berhijrah ke pulau tersebut.
“Langkawi sedang berkembang dengan sangat pantas dan itu sememangnya sesuatu yang mengujakan. Namun sebelum kita terlalu ghairah menjual impian dan gaya hidup yang ditawarkan di sini, kita juga perlu memastikan infrastruktur yang menyokongnya turut dibangunkan pada tahap yang sama.
“Pembangunan bertaraf dunia memerlukan kemudahan asas bertaraf dunia. Penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan awam dan jaringan perhubungan bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan. Jika aspek-aspek ini tidak diberikan perhatian sewajarnya, kita berisiko memasarkan satu gaya hidup yang masih belum wujud sepenuhnya.
“Pertumbuhan sememangnya penting untuk masa depan Langkawi, tetapi pertumbuhan yang mampan jauh lebih penting kerana itulah yang akan menentukan kualiti hidup penduduk serta kelangsungan pembangunan pulau ini dalam jangka panjang,” ujarnya.










