Tiga sindiket penipuan antarabangsa tumpas, 32 individu ditahan

Tiga sindiket penipuan antarabangsa tumpas, 32 individu ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan tiga sindiket penipuan antarabangsa yang beroperasi sebagai pusat panggilan atau ‘call centre’ menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar kawasan ini, kelmarin.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, dalam serbuan itu, seramai 32 individu terdiri daripada warga China, Taiwan, Vietnam, Jepun dan Malaysia turut ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama yang melibatkan kes ‘love scam’ di Taman Pinggiran Bukit Minyak, seramai 10 suspek ditahan membabitkan lapan lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga Taiwan berusia antara 24 hingga 41 tahun.

“Susulan serbuan itu, polis turut merampas 16 unit komputer, 23 telefon bimbit serta empat unit penghala WiFi dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM78,000,” katanya di sini, hari ini.

Azizee berkata, dalam serbuan kedua yang membabitkan sindiket penipuan pertukaran mata wang kripto pula, seramai 15 individu ditahan melibatkan tujuh warga Taiwan, empat warga Vietnam dan empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 49 tahun.

“Hasil siasatan mendapati, sindiket ini mula beroperasi sekitar April lalu dan polis turut merampas 28 unit komputer, 21 telefon bimbit dan sebuah penghala WiFi dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM25,000,” katanya.

Sementara itu, Azizee berkata, tujuh lelaki warga asing terdiri daripada lima warga Jepun dan dua warga Taiwan berusia antara 20 hingga 47 tahun ditahan dalam serbuan ketiga melibatkan sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai polis Jepun bagi memperdaya mangsa dari Jepun dan Taiwan.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan sindiket termasuk telefon bimbit, komputer riba, iPad, pakaian seragam Polis Osaka, kad kuasa dan lencana polis palsu serta peralatan komunikasi satelit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM20,000,” ujarnya.

Tambah beliau, ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan dan kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN