PETALING JAYA: Pelantikan Tan Sri Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia ( FAM) adalah sah dan telah diluluskan oleh ahli gabungan menerusi Kongres Luar Biasa FAM 2025.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri menegaskan sebarang tanggapan jawatan tersebut akan ‘dibuang’ adalah tidak tepat serta boleh menimbulkan kekeliruan.
Katanya, jawatan Presiden Kehormat turut diperuntukkan dalam cadangan pindaan Statut FAM yang disediakan dengan penglibatan serta panduan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
“Sebarang pindaan yang dicadangkan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai usaha untuk menamatkan atau menafikan pelantikan yang telah diputuskan dan diluluskan oleh Kongres sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Saiful, pembentangan menerusi Kongres Luar Biasa itu adalah sebahagian daripada proses reformasi bagi memastikan tadbir urus FAM sentiasa selaras dengan amalan terbaik AFC dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Isu berkenaan mula mendapat perhatian umum selepas timbul spekulasi mengenai status jawatan Presiden Kehormat FAM yang disandang oleh Hamidin bakal dimansuhkan menerusi pindaan statut badan induk itu.
Jawatan tertinggi sebagai Presiden Kehormat tersebut dikhaskan buat Hamidin selepas beliau melepaskan jawatan hakikinya selaku Presiden FAM bagi memberi laluan kepada fasa kepimpinan baharu, sebelum ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, Mohd Azizudin Mohd Shariff terkejut dengan kenyataan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John.
Mohd Azizudin menyifatkan dakwaan jawatan berkenaan akan dihapuskan sebagai sesuatu yang menghairankan kerana peruntukannya masih terkandung jelas dalam draf statut baharu.
“Berdasarkan cadangan statut baharu yang telah diedarkan kepada ahli-ahli gabungan FAM minggu lalu, jawatan Presiden Kehormat masih wujud dan dikekalkan dalam struktur organisasi FAM,” katanya.
Malah, beliau menjelaskan draf statut baharu tersebut merupakan hasil proses reformasi yang dilaksanakan dengan penglibatan serta panduan daripada pihak AFC sendiri.
Mohd Azizudin berpendapat peranan simbolik (ceremonial) itu wajar dikekalkan sebagai tanda penghormatan tertinggi kepada individu tertentu yang telah banyak berjasa kepada landskap bola sepak negara.
Pengesahan terbaharu daripada beberapa persatuan negeri ini secara tidak langsung menafikan dakwaan kononnya FAM bakal menggugurkan jawatan berkenaan dalam kongres luar biasa yang dijadualkan kelak.-UTUSAN









