PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan penamatan kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Robert Douglas Friend atau Rob Friend, melalui persetujuan bersama berkuat kuasa 1 Jun ini.
Dalam perkembangan sama, kontrak Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, turut ditamatkan secara persetujuan bersama berkuat kuasa 16 Jun ini.
Turut terlibat ialah dua staf teknikal skuad senior iaitu Matthew Smith dan Seiya Imazaki yang masing-masing tidak lagi bersama pasukan.
FAM turut mengumumkan penamatan kontrak Ketua Jurulatih Bawah 23 Tahun, Nafuzi Zain serta jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin, yang berkuat kuasa 15 Jun ini, sekali gus menyaksikan beberapa perubahan besar dalam struktur kejurulatihan dan pengurusan skuad kebangsaan.
Keputusan itu dibuat secara persetujuan bersama dan pihaknya merakamkan penghargaan atas segala jasa, komitmen serta sumbangan semua individu terbabit sepanjang tempoh perkhidmatan mereka bersama pasukan kebangsaan.
Dalam masa sama, badan induk bola sepak negara itu menegaskan langkah berkenaan adalah sebahagian usaha memastikan kelancaran hala tuju serta kesinambungan program Harimau Malaya, termasuk proses pengisian jawatan-jawatan yang kosong.
FAM turut memaklumkan sebarang perkembangan lanjut berkaitan pasukan kebangsaan akan diumumkan dari semasa ke semasa seiring usaha memperkemas semula struktur pengurusan dan teknikal skuad Harimau Malaya.-UTUSAN










