PETALING JAYA: Malaysia sudah melakukan segala-galanya, mengeluarkan apa sahaja senjata yang ada, namun masih tidak mampu menumpaskan Thailand dalam perebutan pingat emas sepak takraw antara regu Sukan Asia semalam.
Kekalahan 5-21, 19-21 itu bukan sahaja menyaksikan Malaysia dijinakkan Thailand buat kali kedua dalam tempoh seminggu selepas turut tumpas pada saingan berpasukan, malah gagal mempertahankan pingat emas regu yang dimenangi lima tahun lalu.
Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun berkata, anak-anak buahnya telah berusaha sebaik mungkin tetapi lawan mereka terlalu ampuh.
“Thailand memiliki kekuatan serangan dan pertahanan, namun pemain kita sudah berusaha untuk menterjemahkan perancangan.
“Kita cuba bangkit di set kedua namun beberapa kontroversi melemahkan momentum kita. Saya harap pemain jangan terlalu kecewa dan fokus pada peningkatan prestasi untuk kejohanan akan datang,” kata Ahmad Jais.
Tekong negara, Syahir Rosdi pula menyifatkan nasib tidak menyebelahi pasukan negara biarpun pemain sudah memberikan segalanya di gelanggang dan berusaha membawa pulang emas.
“Kita semua tahu memang Thailand mempunyai banyak kelebihan dan pasukan yang kuat tetapi kami memang perah habis-habisan kali ini dan semangat kami tidak pernah luntur.
“Di final memang kami berjuang bersungguh-sungguh tetapi nasib tidak menyebelahi kami untuk dapatkan emas,” kata pemain berumur 27 tahun itu.
Keputusan itu menyaksikan skuad sepak takraw negara menamatkan kempen Sukan Asia Hangzhou dengan meraih dua perak.
Pencapaian terbaik sepak takraw Malaysia dalam Sukan Asia kekal dengan meraih dua pingat emas pada temasya 1990 di Beijing.