Britain 'senyap-senyap' lulus lesen senjata kepada Israel

Britain ‘senyap-senyap’ lulus lesen senjata kepada Israel

TENTERA Israel melakukan serangan ke atas sebuah bangunan di Khan Younis. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Jabatan Perniagaan dan Perdagangan United Kingdom (DBT) meluluskan dua lesen baharu untuk eksport peralatan ketenteraan ke Israel, termasuk satu lesen bernilai AS$11.85 juta (RM46.45 juta) yang meliputu komponen dan teknologi peralatan penetapan sasaran.

Menurut kumpulan Kempen Menentang Perdagangan Senjata (CAAT), lesen itu dikeluarkan walaupun kerajaan Britain pada September 2024 menggantung eksport tersebut kerana kebimbangan ia akan digunakan dalam perang Israel di Gaza.

Analisis CAAT terhadap statistik pelesenan eksport UK bagi suku keempat 2025, yang diterbitkan pada 30 April, mendapati UK meluluskan lesen eksport bernilai AS$27.9 juta (RM109 juta) secara keseluruhan untuk penghantaran ke Israel dalam tempoh tersebut.

Kelulusan paling ketara adalah Lesen Eksport Individu Terbuka bagi komponen teknologi untuk peralatan penetapan sasaran, kategori eksport yang sebelum ini digantung kerajaan UK lapan bulan lebih awal atas alasan risiko digunakan dalam konflik Gaza.

Apabila ditanya mengenai lesen itu, DBT mendakwa ia merangkumi barangan untuk dieksport semula dari Israel dan kerajaan Israel bukan pengguna akhir atau utama, selaras penggantungannya.

CAAT berkata, pembelaan tersebut bergantung kepada fiksyen undang-undang.

Badan pemantau itu memberi amaran tentang risiko ‘pengalihan automatik’, iaitu proses di mana Israel boleh gagal menghantar semula peralatan ketenteraan ke destinasi yang diisytiharkan dan sebaliknya menyalurkannya kepada pengguna akhir yang tidak dibenarkan, seperti Angkatan Pertahanan Israel (IDF), untuk digunakan di Gaza.

Tindakan sedemikian akan dianggap sebagai pelanggaran lesen eksport dan boleh menjadi kesalahan jenayah di bawah undang-undang UK.

Menteri British sebelum ini berkata, mereka akan membatalkan mana-mana lesen sekiranya terdapat ‘sebarang bukti’ peralatan yang dieksport tidak sampai ke destinasi yang dinyatakan.

Namun, CAAT menyatakan kerajaan UK tidak diketahui menjalankan sebarang usaha untuk mengesahkan apa yang berlaku kepada eksport ketenteraannya selepas ia meninggalkan Britain.

Kebimbangan badan pemantau itu bukan bersifat teori. Pada Mac, satu siasatan mendedahkan bahawa sebuah anak syarikat Elbit di UK menghantar puluhan komponen dron, termasuk enjin Watchkeeper, ke Israel dalam tempoh 18 bulan.

Israel gagal memindahkan semula peralatan tersebut ke Romania seperti yang diwajibkan di bawah lesen, dengan alasan force majeure akibat serangan ketenteraannya di Gaza. Kontrak dengan Romania masih belum diselesaikan.

Elbit mengumumkan bahawa ia akan mula menghantar dron hanya dua hari selepas Romania mengugut untuk membatalkan kontrak tersebut.

Satu lagi lesen baharu meliputi komponen untuk pesawat latihan ketenteraan serta teknologi berkaitan, untuk dipindahkan ke Perancis, Greece, Israel dan Itali, yang berkemungkinan dibekalkan oleh firma aeroangkasa Amerika Syarikat Moog Inc. bagi pesawat latihan Lead-In Fighter Trainer M-346 yang dihasilkan oleh syarikat Itali Leonardo.

M-346 digunakan dalam setiap peringkat latihan lanjutan dan pra-operasi bagi juruterbang Israel sebelum mereka menjalankan misi tempur di Gaza, Iran dan Lubnan menggunakan pesawat F-16 dan F-35.

Israel menyebabkan kemusnahan besar dengan pesawat F-35 di Gaza, Iran dan Lubnan. Komponen serupa yang dihantar oleh Moog dari UK baru-baru ini dirampas oleh pihak berkuasa Belgium, yang kini membuka siasatan jenayah.

Penyelaras Penyelidikan CAAT, Sam Perlo-Freeman berkata, lesen baharu itu mendedahkan batasan dasar yang dinyatakan oleh kerajaan Britain.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×