BAKU: Austria mengesahkan tiket ke pusingan akhir Euro 2024 selepas kemenangan 1-0 ke atas Azerbaijan awal pagi tadi memastikan mereka berada pada kedudukan dua teratas Kumpulan F.
Ini kali keempat Austria akan beraksi di pentas bola sepak Eropah itu selepas turut melayakkan diri pada 2008, 2016 dan 2020.
Pemain tengah Bayern Munich, Marcel Sabitzer menyempurnakan sepakan penalti tiga minit selepas masuk pada separuh masa kedua untuk menghadiahkan kemenangan pasukannya.
Skuad bimbingan Ralf Rangnick itu bangkit daripada kekalahan 3-2 kepada Belgium minggu lalu untuk menyertai lapan negara yang sudah mengesahkan tiket ke Jerman tahun depan.
Austria dihadiahkan penalti pada minit ke-48 selepas sepakan bebas yang diambil Sabitzer terkena tangan pertahanan lawan, Rahil Mammadov.

Kemenangan itu memastikan mereka mengiringi Belgium ke pusingan akhir Euro, sekali gus menyebabkan misi Sweden untuk layak selepas 28 tahun musnah.
Terdahulu, pertemuan Sweden dan Belgium di Brussels digantung pada rehat separuh masa ekoran insiden tembakan yang mengorbankan dua rakyat Sweden tidak jauh dari di Stadium King Boudouin.
Kedudukan terikat 1-1 pada babak pertama ketika keputusan membatalkan perlawanan diambil.
Polis mengiringi pasukan Sweden ke lapangan terbang, manakala penyokong Sweden diiringi oleh polis ke bandar.
Pengurus Sweden, Janne Andersson berkata, dia dan pemain hanya mengetahui tentang insiden tembakan itu pada separuh masa.
“Apabila saya turun untuk rehat, saya mendapat maklumat ini. Serta-merta, saya rasa ia sama sekali tidak benar. Apakah jenis dunia yang kita tinggal hari ini?
“Saya masuk ke bilik persalinan dan apabila pasukan mula bercakap, kami bersetuju 100 peratus bahawa kami tidak mahu bermain kerana menghormati mangsa dan keluarga mereka,” kata Andersson. – AGENSI