PETALING JAYA: Semua bekalan barangan asas mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Mohd. Shahran Mohd. Arshad berkata, pihak kementerian akan memantau dan menyelia harga barangan sepanjang tempoh konflik berkenaan.
“KPDN Kuala Lumpur memberi jaminan bekalan barangan keperluan asas harian mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal,
“Bekalan akan dipantau dan secara menyeluruh di 11 Kawasan Parlimen Kuala Lumpur bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebanyak 168 pegawai penguatkuasa dan pegawai pemantau Harga KPDN Kuala Lumpur telah digerakkan secara berterusan untuk memantau keberadaan bekalan dan harga di seluruh ibu negara.
Selain itu katanya, KPDN Kuala Lumpur turut melantik dan memantau beberapa Peruncit Terpilih Daerah (DDR) serta Pemborong Terpilih Daerah (DDW) bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa tersedia dan mencukupi di pasaran.
Beliau berkata, kementerian itu juga akan melaksanakan sesi libat urus dengan syarikat pengeluar minyak bagi memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi di semua stesen minyak termasuk di laluan seperti lebuh raya dan pusat bandar. – UTUSAN










