PETALING JAYA: Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) melaksanakan pendekatan kolaboratif bagi mencari penyelesaian berhubung isu mogok trak tunda bagi memastikan perkhidmatan kepada pemegang polisi tidak terjejas.
PIAM dalam kenyataan berkata, industri insurans am ketika ini memantau rapat perkembangan peningkatan kos operasi serta tekanan ekonomi luaran yang memberi kesan kepada pengusaha trak tunda sehingga berpotensi menyebabkan gangguan atau penggantungan sementara perkhidmatan.
Menurutnya, cabaran tersebut berpunca daripada faktor yang di luar kawalan langsung industri insurans am.
“Bagaimanapun, kami komited untuk menanganinya secara bersama dengan rakan penyedia perkhidmatan, pengawal selia, pihak berkuasa serta pemegang taruh utama.
“Industri akan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi mengharungi tekanan semasa serta mencari penyelesaian yang mampan dan seimbang,” katanya.
Sehubungan itu, syarikat ahli telah mengaktifkan beberapa langkah bagi menyokong pelanggan, khususnya dalam situasi kecemasan seperti kemalangan dan kerosakan kenderaan.
Antaranya termasuk memberi keutamaan penghantaran bantuan kecemasan kepada pemegang polisi motor yang terkandas di lebuh raya, terlibat dalam kemalangan atau berada dalam situasi berbahaya.
Selain itu, katanya, bagi penundaan dari kediaman atau lokasi selamat, pemegang polisi motor digalakkan membuat temu janji lebih awal bagi mengurus kapasiti perkhidmatan yang tersedia dengan lebih berkesan.
“Sebahagian syarikat insurans juga menggunakan bengkel panel masing-masing bagi membantu pemandu yang terkandas dan memperluaskan capaian bantuan.
“Sebagai alternatif, sesetengah syarikat insurans turut menyediakan kemudahan bayaran balik bagi perkhidmatan tunda bebas, tertakluk kepada terma dan syarat polisi motor komprehensif individu,” katanya.
Katanya, pemegang polisi motor disaran menghubungi syarikat insurans masing-masing melalui talian bantuan 24 jam atau saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai ketersediaan perkhidmatan.
“Mereka juga dinasihatkan supaya mengesahkan perlindungan polisi sebelum mendapatkan khidmat trak tunda bebas, termasuk memastikan pilihan bayaran balik tersedia serta memahami dokumen yang diperlukan untuk tuntutan.
“Pemegang polisi diingatkan menyimpan semua resit rasmi dan laporan perkhidmatan sekiranya pengaturan alternatif diluluskan bagi memudahkan proses bayaran balik,” katanya.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan pengusaha trak tunda memberi amaran akan melaksanakan mogok sepenuhnya sekiranya kerajaan terus berdiam diri terhadap permohonan subsidi diesel yang dikemukakan.
Pengerusi Persatuan Trak Tunda dan Pengangkut 1Malaysia (1MTTCC), Md. Yusof Yahya dilaporkan berkata, sehingga kini masih belum ada sebarang maklum balas diterima daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) walaupun permohonan telah dihantar sejak tahun lalu.
Katanya, keadaan itu berlaku ketika industri berdepan tekanan kos operasi yang semakin meningkat susulan kenaikan harga diesel di pasaran. – UTUSAN











