Dari pekerja e-hailing, pelajar ke pentas elit Piala Malaysia

Dari pekerja e-hailing, pelajar ke pentas elit Piala Malaysia

KESEBELASAN utama KL Rovers ketika menentang Terengganu FC pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin. - IHSAN TERENGGANU FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KELMARIN adalah detik yang istimewa buat Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) kerana buat kali pertama mereka merasai nikmat bermain di pentas Piala Malaysia.

Biarpun kalah 0-4 dalam perlawanan pertama pusingan 16 akhir itu, namun dapat berkongsi padang dengan bintang profesional Terengganu FC sesuatu yang mengujakan.

Anak-anak buah Wan Mustaffa Wan Ismail mampu menguji pasukan pantai timur itu sekali lagi apabila turun dalam aksi timbal balik di Gong Badak pada 18 Ogos nanti.

Mengimbas pengli­batan mereka dalam Liga Malaysia (Liga M), KL Rovers yang baru ditubuhkan tiga tahun lalu dibarisi pemain dengan pelbagai latar belakang.

Yang pasti, pemain mereka bukanlah sehebat Terengganu yang dibintangi import dan tonggak tempatan terbaik.

KL Rovers (jersi merah) diberi penghormatan berkongsi padang dengan Terengganu FC dalam aksi Piala Malaysia kelnarin.

Menurut Wan Mustaffa, pada 2020 pasukannya hanya sempat bermain dua kali dalam Liga M3 dan dua aksi Piala FA sebelum sukan di seluruh dunia direhatkan akibat Covid-19.

Ketika itu, mereka pernah dibintangi nama besar seperti bekas tonggak kebangsaan, Hafiz Kamal, Naim Nazmi, Azman Chuchu dan Afiq Ahmad Razali.

KL Rovers juga pernah diperkuatkan oleh bintang naturalisasi Harimau Malaya, Sergio Aguero serta import Melaka United, Davy Angan.

Begitupun itu semua cerita lama. Kini, Wan Mustaffa perlu menggunakan semua pengalaman untuk menaikkan KL Rovers dalam keadaan serba kekurangan.

Kebanyakan pemain sekarang mereka sangat muda dan tiada pengalaman profesional.

Sebagai kelab amatur, ada pemain yang bekerja sebagai penghantar e-hailing, perkhidmatan penghantaran lain serta penuntut universiti.

“Saya bersyukur KL Rovers masih mampu mencipta sejarah sebagai pasukan Liga M3 pertama ke Piala Malaysia biarpun dalam segala kepayahan.

“Pemain kami terdiri daripada remaja yang kebanyakannya bekerja sambilan dengan e-hailing, perkhidmatan penghantaran dan mahasiswa universiti.

“Walaupun pemain-pemain ini ada komitmen lain tetapi semua program latihan yang diberi untuk latihan sendiri dilakukan dengan cemerlang.

“Saya faham mereka perlu diberi masa untuk menyeimbangkan prestasi sebagai pemain dan mencari pendapatan lebih, namun walaupun penat, mereka sanggup buat latihan tambahan pada hari lain untuk memperbaiki kemahiran.

“Mungkin kami kekurangan dari pelbagai sudut tetapi saya percaya, pengalaman akan mendewasakan mereka dan beraksi pada Piala Malaysia platform terbaik untuk mereka memikat kelab-kelab Liga Super,” kata Wan Mustaffa yang pernah melatih UiTM FC.

WAN MUSTAFFA WAN ISMAIL

KL Rovers menduduki tangga pertama dalam saingan Liga M3 di depan Harini FT, dan kedua-dua pasukan itu layak ke pentas Piala Malaysia 2023.

Menjadikan Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang sebagai pangkalan latihan, pasukan itu berjanji akan membuka mata ramai pihak dengan bakat yang dimiliki.

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.