Mohd. Zafir masih bertugas seperti biasa

Mohd. Zafir masih bertugas seperti biasa

MOHD. ZAFIR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim masih menjalankan tugas seperti biasa selepas diarahkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mohd. Zafir berkata, beliau akur dengan arahan berkenaan memandangkan statusnya sebagai penjawat awam Persekutuan yang ditempatkan di negeri itu.

“Tan Sri KSN minta saya bertugas seperti biasa. Jadi saya sebagai penjawat awam Persekutuan yang ditempatkan di Negeri Sembilan, saya akur dengan arahan itu.

“Cumanya hari ini saya ada tugasan rasmi di luar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Mohd. Zafir dalam pada itu berkata, beliau turut mendapatkan pandangan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berhubung keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan yang menggantung tugasnya.

Beliau berkata, pandangan yang diterima menyatakan arahan penggantungan tersebut tidak sah.

“Jadi saya ikut garis panduan diberikan dan juga pandangan Tan Sri KSN. Setakat ini saya juga tidak terima apa-apa surat rasmi berkenaan penggantungan tugas melainkan kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Besar,” katanya.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, MMKN Negeri Sembilan dalam mesyuarat khas memutuskan secara sebulat suara untuk menggantung Mohd. Zafir dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×