JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan menaik taraf Jalan Wong Ah Fook dan kawasan Little India di pusat bandar raya bagi memartabatkan serta memperkukuh sektor pelancongan warisan di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Kebudayaan negeri, P. Pannir Selvam berkata, Tourism Johor bekerjasama rapat dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi merangka pelan pengindahan semula jalan bersejarah berkenaan.
Menurut beliau, projek yang dicadangkan itu merangkumi pembangunan laluan pejalan kaki bersejarah di sepanjang Jalan Wong Ah Fook, selain menaik taraf kawasan Little India yang terletak berhampiran.
“Ia bukanlah pembangunan semula secara besar-besaran, sebaliknya melibatkan kerja penambahbaikan, sentuhan kemasan serta menaik taraf kawasan tertentu mengikut keperluan,” katanya selepas merasmikan Majlis Simbolik Penanaman Lada Hitam di Jalan Segget, di sini hari ini.
Tambah Pannir Selvam, pelaksanaan kerja-kerja berkenaan dijadualkan bermula selepas sambutan perayaan Deepavali tahun ini.
Pada masa sama, beliau turut memberitahu pihaknya merancang untuk memasang kod QR pada papan tanda di sepanjang Jalan Wong Ah Fook dan jalan-jalan utama lain di pusat bandar raya ini.
“Inisiatif digital itu bakal membolehkan pengunjung mengakses maklumat sejarah mengenai sesuatu lokasi secara terus menerusi telefon pintar masing-masing.
“Langkah ini diyakini mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong domestik dan juga antarabangsa menerusi pendedahan sejarah yang lebih berkesan,” katanya.
Sementara itu, mengulas berhubung program, penanaman produk komoditi itu bukan sekadar gimik landskap, sebaliknya penghormatan kepada sejarah serta usaha menghidupkan kembali memori kolektif warga Johor.
“Komoditi ini tidak boleh dipisahkan daripada asas pembentukan ekonomi moden Johor pada abad ke-19 hingga menjadi ‘hasil emas’ yang menarik kehadiran pedagang, pengusaha serta tenaga kerja dari China,” katanya. – UTUSAN











