Eain Yow, Sanjay teruskan kemaraan ke pusingan ketiga

Eain Yow, Sanjay teruskan kemaraan ke pusingan ketiga

Ng Eain Yow (depan) mudah melepasi halangan Reymark Bergonia di pusingan awal pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya, Jepun, hari ini. - Ihsan Facebook WSF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemburuan tiket automatik ke Sukan Olimpik 2028 bermula dengan dua wakil perseorangan lelaki negara, Ng Eain Yow dan Sanjay Jeeva mudah ke pusingan ketiga setelah menewaskan lawan masing-masing di peringkat 32 terbaik pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya, Jepun, hari ini.

Eain Yow yang mendapat bye di peringkat 64 terbaik selaku pilihan pertama, menewaskan Reymark Bergonia dari Filipina 11-2, 11-1, 11-2 pada pusingan kedua di Nagoya Kinju-Futo Arena.

Anak jati Kuala Lumpur yang merupakan pemain No. 18 dunia itu akan berdepan pencabar dari Korea Selatan, Ryu Jeongmin di peringkat 16 terbaik, esok.

Eain Yow berkata, dia masih menyesuaikan dirinya dengan keadaan gelanggang di Nagoya, walaupun, sebelum ini berpeluang menjalani latihan di venue sama.

“Cuma hari ini, terasa agak sejuk dan berdepan Raymark, saya mengenalinya kerana kami pernah bermain di kejuaraan peringkat serantau. Saya gembira dengan kemenangan ini,” katanya menerusi satu kiriman audio dari Nagoya selepas perlawanan berakhir.

Ketika ditanya mengenai statusnya selaku juara bertahan, pemain berusia 28 tahun itu memberitahu, dia tidak begitu mengambil berat tentang kedudukan tersebut, namun, sudah tentu berhajat untuk mengulangi pencapaian berkenaan.

Bagaimanapun, jelas Eain Yow, selain mempertahankan gelaran, fokus utamanya adalah melayakkan diri ke Sukan Olimpik dan dia bersedia mengharungi segala tekanan yang bakal hadir dalam usahanya memburu slot tersebut.

Sementara itu, Sanjay yang menghuni ranking ke-59 dunia tidak berdepan masalah menundukkan Muhammad Mustafo Abdurakhmonov dari Uzbekistan 11-2, 11-4, 12-9 di peringkat 32 terbaik.

Sanjay yang diletakkan sebagai pilihan 9/16 akan menghitung pertemuan dengan pilihan 3/4, Veer Manish Chotrani dari India pada peringkat 16 terbaik.

Atlet yang juga berasal dari Kuala Lumpur itu melahirkan rasa gembiranya diberi peluang bermain dan masuk ke dalam gelanggang buat pertama kali di pentas Sukan Asia.

“Seperti yang anda sedia maklum, perlawanan pertama selalunya agak sukar, terutama jika kita berdepan pencabar yang lebih tinggi ranking.

“Tetapi saya gembira berjaya muncul sebagai pemenang dalam tiga set, saya hanya fokus kepada permainan dan pukulan saya. Selepas ini saya perlu alih tumpuan kepada aksi berikut pula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×