Bukan pembedahan plastik, tetapi saya edit sendiri foto wajah dan tubuh - Syahrini - Utusan Malaysia

Bukan pembedahan plastik, tetapi saya edit sendiri foto wajah dan tubuh – Syahrini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Penyanyi popular Indonesia, Syahrini, mengakui mengubah suai sendiri beberapa bahagian wajah dan tubuh dalam foto yang dimuat naik di akaun Instagram peribadinya.

Pengakuan itu dibuat selepas penampilannya ketika menghadiri Festival Filem Cannes 2025 menjadi perhatian netizen apabila tubuhnya kelihatan lebih berisi berbanding foto di media sosial yang menampilkan susuk tubuh lebih langsing.

Menurut Syahrini, perubahan pada penampilan dalam foto berkenaan dilakukan menggunakan ciri penyuntingan gambar.

Syahrini berkata, sebahagian foto OOTD (pakaian hari ini) miliknya dirakam oleh suaminya, Reino Barack, termasuk ketika lelaki itu sedang menghadiri mesyuarat.

“Dia (Reino) kena mahu mengambil gambar isterinya. Kadang-kadang dia kata, ‘Sayang, saya ada mesyuarat’, tetapi bonusnya saya dapat gambar. Okey, begitu,” katanya.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu, ketika menunggu suaminya selesai bermesyuarat, dia akan mengambil kesempatan untuk menyunting foto berkenaan.

“Ketika suami bermesyuarat, saya edit gambar. Kadang-kadang hidung terlalu mancung, kadang-kadang pinggang terlalu kecil, bergantung kepada mood. Kadang-kadang kaki terlalu panjang, tidak mengapa, yang penting gembira,” ujarnya.

Syahrini berkata, penyuntingan gambar yang keterlaluan ada kalanya menyebabkan dirinya dikaitkan dengan dakwaan menjalani pembedahan plastik.

Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak terlalu mengambil hati terhadap pelbagai komen yang dilemparkan netizen.

Selepas kira-kira tujuh tahun menyepi daripada dunia hiburan, Syahrini kembali aktif di pentas seni menerusi single terbaharunya, Kau yang Utama, yang dilancarkan pada 7 Ogos lalu.

Lagu berkenaan dipersembahkan khusus buat suaminya dan anak mereka, Princess R.

Syahrini, 46, mula mengurangkan aktiviti dalam dunia hiburan selepas berkahwin dengan Reino pada 27 Februari 2019.

Syahrini sebelum itu mengambil keputusan untuk mengurangkan kerjaya seni dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kehidupan sebagai isteri.

“Ketika akad nikah, saya memang sudah berniat untuk mengabdikan diri kepada lelaki yang saya pilih, Reino Barack. Bagaimana sebenarnya menjadi seorang isteri, saya mahu fokus dahulu dan beribadah dahulu,” katanya.

Menurut Syahrini, tumpuannya terhadap keluarga akhirnya menyebabkan dia berehat daripada dunia hiburan selama kira-kira tujuh tahun.

“Rupanya dalam tempoh memberi tumpuan itu, saya terbawa-bawa sehingga tujuh tahun. Saya juga perlu melalui tempoh mengandung, melahirkan dan membesarkan anak. Saya menunggu sehingga anak berusia dua tahun sebelum boleh kembali bergerak aktif,” katanya.

Sepanjang tempoh berkenaan, kegiatan utama Syahrini adalah menemani Reino menguruskan urusan perniagaan di beberapa negara.

Pasangan itu menetap di Singapura sejak 2020.

Dalam tempoh sama, pelantun lagu Sesuatu itu turut menjalani program kehamilan sebelum dikurniakan cahaya mata, Princess R, yang dilahirkan pada 1 Ogos 2024.

Sebelum kelahiran Princess R, Syahrini pernah mengalami dua kali keguguran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×